AKTOR yang mencipta populariti menerusi drama hit The Penthouse: War In Life, Yoon Jong-hoon mengakui dia merupakan seorang yang sangat rajin melakukan kerja rumah.
Aktor itu bercerita tentang dirinya ketika muncul dalam program My Ugly Ducking terbitan SBS baru-baru ini.
“Saya selalu mencabut plag periuk elektrik setiap kali selesai menggunakannya. Sebab saya tahu saya akan membayar bil elektrik yang banyak jika tidak melakukannya.
“Rakan kepada ayah kerap kali menyuruh saya segera kahwin. Tidak kira wanita atau lelaki, kedua-duanya perlu mahir dengan kerja rumah. Tetapi kalau bakal isteri mahu jadi seorang yang berkerjaya, saya tidak kisah mengemas rumah,” ujarnya.
Dedah Jong-hoon, sikap tersebut sudah lama diamalkannya sejak dia mula bekerja sebagai pelakon teater suatu ketika dahulu.
“Ketika bekerja di teater, saya ditugaskan mencuci tandas. Saya tidak ingat sudah berapa kali saya mencuci kesan muntah orang lain di dalam tandas,” ujarnya yang mengakui dirinya seorang yang sangat berjimat cermat.
Selain pandai menguruskan rumah, aktor berusia 36 tahun itu juga mendedahkan dia merupakan seorang yang pandai memasak.