fbpx

Ular tedung ikut balik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba menangkap seekor ular tedung selar yang masuk ke dalam sebuah rumah di Kampung Padang Cicak, Baling kelmarin.

BALING – Seorang lelaki menempuh pengalaman mencemaskan apabila seekor ular tedung selar sepanjang enam meter yang ditemui mengikutnya pulang ke rumah baharunya sebelum ditangkap dalam kejadian di Kampung Baru Kura, Jeneri di sini kelmarin.

Mengimbau semula kejadian pada pukul 5 petang itu, Norasimah Hassan, 52, berkata, suaminya, Mohd. Nasir Hamzah, 54, terserempak dengan ular itu ketika sedang menunggang motosikal untuk menghantar simen ke rumah baharu yang sedang dalam pembinaan di Kampung Padang Cicak.

Jarak antara dua kampung itu kira-kira 200 meter.

Katanya, di pertengahan jalan, suaminya terkejut apabila terserempak dengan seekor ular tedung selar yang besar sedang melintas jalan.

“Ular itu kemudian berhenti dan mengembangkan kepalanya sebelum ia berpatah balik dan masuk semula ke dalam semak di tepi jalan itu.

“Suami yang berhenti kerana cemas bergegas ke rumah baharu selepas ular itu beredar,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, ketika dia dan suami berada di Pekan Jeniang, Gurun, anak mereka, Mohd. Nizam Mohd. Nasir, 34, menghubunginya memaklumkan rumah baharu itu dimasuki seekor ular tedung selar pada pukul 9 malam.

Menurut Norasimah, mereka kemudian bergegas ke sana dan suami memberitahu ia ular sama yang ditemui pada sebelah petang.

“Anak masuk ke dalam bilik untuk mencari paku, namun terjumpa pula ular tersebut. Kami kemudian menghubungi bomba dan Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BBSYJM) untuk menangkap ular itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi BBSYJM, Mahadzir Abdul Hamid berkata, mereka mengambil masa lima minit untuk menangkap ular itu.

“Ular itu disyaki tersesat masuk ke dalam rumah ekoran musim kering dan panas. Setakat ini kita telah menerima lebih 10 kes dalam tempoh sebulan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI