IPOH – Sebanyak tujuh buah lori yang membawa hasil hutan secara haram disita Jabatan Perhutanan Perak dalam Ops Oren yang dilaksanakan selama empat hari berakhir Jumaat lalu.
Jabatan Perhutanan Perak dalam satu kenyataan berkata, menerusi operasi bersepadu itu, pihaknya telah memeriksa 50 buah lori pelbagai saiz di 15 sekatan jalan raya (SJR) melibatkan lima daerah hutan iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Larut dan Matang, Kinta-Manjung dan Perak Selatan.
Jelasnya, daripada pemeriksaan tersebut, tujuh lori bersama muatannya telah disita Jabatan Perhutanan kerana gagal mengemukakan apa-apa dokumen (pas pemindah) bagi membawa hasil hutan.
“Semua pemandu dan kelindan lori berkenaan ditahan Jabatan Perhutanan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kesemua barang rampasan dibawa ke stor barang rampasan milik Jabatan Perhutanan,” ujarnya.
Menurutnya, semua mereka disiasat mengikut Seksten 68(1), Seksyen 68(2) dan Seksyen 40(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984.
Katanya, secara keseluruhannya, Ops Oren berjaya mencapai objektif dan matlamat pelaksanaannya dalam memantau serta memeriksa semua kenderaan khasnya lori yang membawa hasil hutan dari Hutan Simpanan Kekal (HSK), tanah kerajaan atau tanah milik di Perak sepanjang tempoh musim perayaan Tahun Baru Cina. K! ONLINE