fbpx

Rumah usia 100 tahun ‘ghaib’ dikebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR HISHAM menunjukkan serpihan batu, atap dan dinding yang berselerakan selepas sebuah rumah kayu bersejarah diruntuhkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di Kampung Kuchai, Ipoh semalam.

IPOH – Sebuah bangunan bersejarah dengan nilai warisan tinggi berusia 100 tahun di Kampung Kuchai di sini ‘ghaib’ apabila dirobohkan pihak tidak bertanggungjawab beberapa hari lalu.

Mengikut rekod, binaan rumah kayu peninggalan golongan aristokrat Melayu itu diserahkan kepada kerajaan bagi keperluan melebarkan Sungai Kinta pada waktu itu sebelum diserahkan kepada Kelab Rotary Ipoh.

Ia kemudian dijadikan tempat perlindungan kanak-kanak gelandangan pada tahun 1935 dikenali sebagai King George V Silver Jubilee Rotary Home di bawah seliaan Dr. Samsudin Cassim iaitu
anak Melayu kedua bergelar doktor di Tanah Melayu ketika itu.

Pada tahun 2010 rumah itu dijadikan premis Kelab Belia Ipoh sebelum dikosongkan beberapa tahun kemudian.

Tinjauan Kosmo! mendapati kerja-kerja perobohan dilakukan secara tergesa-gesa dengan bongkah batu bata, kayu dan papan serta kepingan atap genting dibiar berselerakan.

GAMBAR lama menunjukkan rumah kayu bersejarah sebelum ia diruntuhkan di Kampung Kuchai, Ipoh.

Bukan itu sahaja, tiada sebarang papan tanda pemberitahuan dipasang sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai apa sebenarnya yang berlaku kepada rumah bersejarah itu.

Mengikut rekod, rumah itu menggunakan atap genting Tuileries Roman Boyar buatanPerancis.

Timbalan Presiden Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkifle berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kerja perobohan itu oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut.

“Apa yang berlaku ini sangat menyedihkan. Sejak 15 tahun lalu, pelbagai pihak telah menyuarakan keprihatinan mereka supaya kawasan Kampung Kuchai diambil berat kerana nilai sejarahnya yang tinggi.

“Kini ia menjadi kenyataan dan sama nasib dengan rumah-rumah lama lain yang ghaib atau menyembah bumi,” katanya.

Kampung Kuchai yang kini sebahagian daripada bandar Ipoh dibuka oleh orang-orang Melayu pada penghujung abad ke-19 sebelum kedatangan imigran Cina berikutan kepesatan perlombongan bijih timah pada masa itu.

Difahamkan, pada tahun 2010 terdapat sekurang-kurangnya kira-kira 12 buah rumah tinggalan golongan aristokrat Melayu Ipoh di sini yang kebanyakannya dihuni secara tidak sah oleh pengusaha bengkel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI