JERANTUT – Tiga pengusaha pertanian di Lembah Gelanggi di sini mengalami kerugian kira-kira RM50,000 apabila kawasan projek tanaman komersial mereka dimusnahkan sekumpulan gajah liar awal pagi hari ini.
Ketua Projek Pertanian Lembah Gelanggi, Zainul Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu gajah liar berkenaan memusnahkan hampir keseluruhan kawasan pertanian seluas 11.2 hektar yang ditanam dengan pisang, tebu, nanas dan sayur-sayuran.
“Sekumpulan gajah liar antara 10 hingga 12 ekor itu mula menceroboh kawasan berkenaan pada awal pagi dengan merosakkan pagar dawai di kawasan tanaman bersempadan dengan hutan berdekatan Felda Kota Gelanggi.
“Kejadian ini sudah berlaku hampir 20 kali sejak awal Januari tahun ini. Bagaimanapun kali ini gajah liar tersebut semakin ‘mengganas’ sehingga merosakkan hampir keseluruhan tanaman di sini,” katanya.
Jelasnya, tanaman pisang, nanas dan tebu yang sudah mencapai tahap matang dan boleh dipasarkan penghujung bulan ini telah dirosakkan gajah tersebut.
Katanya, dia bersama pengusaha lain yang kerap berkawal di pondok ladang di situ tidak dapat menghalau gajah berkenaan yang dilihat semmakin agresif serta boleh mengancam keselamatan.
“Pelbagai cara sudah kita lakukan untuk menghalaunya seperti membakar tayar terpakai, membakar mercun dan membina pagar dawai namun semuanya gagal. Kini projek membina parit berdekatan sempadan hutan sedang dilakukan sebagai alternatif terakhir.
“Kami sudah hantar surat aduan secara rasmi kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tetapi belum ada tindakan lanjut,”ujarnya. K! ONLINE