“Terima kasih sebab memberikan sokongan kepada lagu ini. Tidak sangka sejak dilancarkan tiga bulan lalu, Perit diterima baik. Orang pun makin kenal dengan lagu ini,” kata penyanyi baharu dikenali dengan nama Aliff Iskandar ketika berbicara tentang penerimaan single debutnya dalam industri.
Tuah menyebelahi apabila lagu Perit yang menjadi runut untuk drama Perempuan Tanpa Dosa bukan sahaja diterima ramai tetapi juga turut didengari dalam beberapa drama lain seperti Angkara Cinta, Bougainvillea dan terbaharu Rahimah Tanpa Rahim.
Lebih menarik, lagu tersebut mendapat sambutan luar biasa pendengar apabila dijadikan ‘lagu tema’ bagi mereka yang putus cinta, dicurangi dan berhadapan dengan apa sahaja masalah perhubungan.
“Jika lirik lagu dekat dengan pendengar, mereka mudah menerimanya. Ada yang pernah berhadapan dengan situasi kecewa dalam cinta dan mereka bercerita tentang pengalaman disakiti dalam video muzik lagu ini.
“Saya baca setiap komen yang ditinggalkan. Macam-macam kisah dan pengalaman dikongsikan. Ada yang sangat tragis dan buatkan saya berasa sangat bersimpati,” ujarnya.
Bertitik tolak daripada kejayaan Perit, Aliff bersyukur kerana bakat penciptaan lagunya disedari ramai. Kini penyanyi berusia 21 tahun itu semakin laris apabila ada pihak yang mahukan karyanya.
Buruan artis popular
Ujar penyanyi kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu, semuanya berlaku ketika dia mula menyanyikan lagu baharunya dalam Instagram. Beberapa pihak mula merisik dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan karya baharunya.
“Memang ada yang tampil menyatakan hasrat untuk bekerjasama termasuklah menghasilkan runut bunyi. Sudah pasti sebagai seorang pendatang baharu, saya amat hargainya.
“Apabila ada yang percaya dengan hasil karya saya, tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan ini. Semoga apa yang dirancang akan tertunai sedikit masa lagi,” katanya yang kini sedang menuntut di Institut Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.
Paling mengujakan, lamaran tersebut bukan sahaja datang daripada syarikat produksi, malah Aliff turut dirisik beberapa artis popular yang memburu karyanya.
“Setakat ini semuanya masih dalam perancangan. Andai kata semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang, saya akan kongsikan kepada semua,” katanya