KLANG – Seorang pengarah sebuah syarikat berkaitan pengangkutan ditahan hari ini bagi membantu siasatan kes pembakaran terbuka di tanah miliknya sehingga disyaki menyebabkan jerebu di Johan Setia, di sini.
Penahanan suspek lelaki berusia 40an yang juga merupakan pemilik tanah tersebut dilakukan pukul 2.30 petang di sekitar daerah ini oleh sepasukan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, siasatan mendapati pembakaran terbuka itu dilakukan di keseluruhan tanahnya seluas 0.8 hektar sejak tiga minggu lalu.
Katanya, tindakan suspek itu dipercayai bertujuan membersihkan tanah itu untuk pembinaan gudang.
“Pembakaran tersebut itu telah menyebabkan jerebu setempat apabila status Indeks Pencemar Udara (IPU) mencatatkan rekod bacaan melebihi 100 iaitu tidak sihat
“Penahanan suspek dilakukan mengikut Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kawasan revolusi hijau Johan Setia, Klang yang seluas 1618.7 hektar setiap tahun diancam pembakaran terbuka berikutan aktiviti penerokaan tanah secara haram.
Ujarnya, gangguan kawasan itu diburukkan lagi dengan amalan pertanian oleh petani tanaman kontan secara tebas dan bakar serta kawasan tersebut merupakan tanah gambut yang mudah terbakar.
“Kita akan melakukan lebih banyak tangkapan selepas ini berikutan masalah pembakaran terbuka yang tidak berkesudahan terutama sewaktu musim panas dan kering.
“Pemilik tanah bertanggungjawab memastikan tanah mereka tidak diceroboh oleh pihak-pihak tertentu bagi melakukan pembakaran terbuka,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Nor Aziah menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 29A, Larangan Atas Pembakaran Terbuka, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 yang membawa hukuman tegas iaitu denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan. -K!ONLINE