PETALING JAYA – Pakailah otak! Itu respons pengarah drama Michael Ang menyelar tindakan sesetengah pihak yang memfitnah dirinya melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan penggambaran sebuah drama.
Dalam sebuah hantaran Instagramnya, Michael memuat naik sebuah video memaparkan lokasi penggambaran drama arahannya bertajuk Angkara Cinta yang dilakukan di sebuah hotel di Ipoh, Perak. Menurutnya, semua kerja-kerja penggambaran masih dilakukan dalam persekitaran dan tidak keluar dari pagar hotel terbabit.
Menurut pengarah berusia 45 tahun itu, salah faham tersebut timbul selepas ada pihak sengaja memuat naik beberapa keping gambar ketika penggambaran sedang berlangsung dan mendakwa kru produksinya tidak mematuhi SOP ditetapkan, melakukan penggambaran di luar studio (outdoor) selain tidak memakai topeng pelitup muka.
“Salam semua. Video menjelaskan kepada penggiat-penggiat seni, PM Malaysia, persatuan-persatuan tersohor dan produser terkaya Malaysia yang menuduh aku tak ikut SOP sebab jalani penggambaran di lokasi luar.
“Tanpa memeriksa atau telefon tanya, mereka buat laporan dan tularkan! Sila leret gambar seterusnya untuk lihat foto yang diviralkan.
“Gambar pakcik (pelakon tambahan) itu adalah orang yang meminta gambar di lokasi daripada staf kemudian sebarkannya. Motif dia minta gambar itu pun saya tidak tahu. Sama ada orang suruh buat atau tidak, aku husnuzon saja,” tulisnya.
Tambah pengarah drama Perempuan Tanpa Dosa itu lagi, dia berasa simpati kerana fitnah tersebut telah menyusahkan ramai pihak terutamanya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang terpaksa meminta petugasnya berkejar ke Ipoh untuk melakukan siasatan.
“Paling kasihan pihak Ahmad Idham (Ketua Pegawai Eksekutif Finas) yang terpaksa menyuruh petugasnya datang ke Ipoh pada waktu cuti umum untuk soal siasat kami mengenai benda bodoh macam ini.
“Sudah-sudahlah kau orang yang busuk hati tu, pergi bersihkan jiwa kau dan cari rezeki halal. Bukannya menutup periuk nasi kawan-kawan kau, ahli persatuan kau!” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan semua aktiviti sektor industri kreatif boleh beroperasi semula tetapi perlu mematuhi SOP ketat yang telah ditetapkan dalam sidang akhbar yang berlangsung 9 Februari lalu.
Antara SOP baharu yang ditetapkan ialah kapasiti kru produksi untuk mana-mana pengambaran drama dan program hiburan hanya untuk 20 orang sahaja.
Sementara itu, tempoh operasi penggambaran pula dihadkan dari pukul 8 pagi sehingga 10 malam sahaja. – K! ONLINE