MELBOURNE – Pemain pilihan No. 3, Naomi Osaka mempamerkan aksi sempurna selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pemain sensasi Sepanyol, Garbine Muguruza dalam aksi pusingan keempat Terbuka Australia semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Rod Laver Arena itu, Osaka memerlukan masa hampir dua jam sebelum dapat merekodkan kemenangan 4-6, 6-4, 7-5 ke atas Muguruza yang juga finalis Terbuka Australia tahun lalu.
Kata Osaka, kemenangan itu sangat melegakannya memandangkan Muguruza telah memberikan tentangan yang cukup sengit khususnya pada set penentuan sehingga menyaksikan dirinya hampir tersingkir apabila ketinggalan 3-5.
“Ini adalah perlawanan epik daripada kedua-dua pemain yang sukar untuk digambarkan. Secara jujur, saya sangat gembira apabila dapat memenangi perlawanan ini kerana cabaran yang diberikan oleh Muguruza sangat hebat.
“Pada awalnya, saya agak tertekan khususnya pada set ketiga yang mana saya berada di ambang penyingkiran tetapi saya kekal fokus dan memberikan tumpuan penuh untuk tidak mengibarkan bendera putih terlalu mudah,” katanya.
Sementara itu, Muguruza terpaksa akur dengan kehebatan yang dipamerkan oleh Osaka dalam meranapkan impiannya untuk melangkah jauh pada kejohanan bertaraf Grand Slam pertama musim ini.
“Pujian harus diberikan kepada Osaka yang mempamerkan kualiti tersendiri terutama untuk bangkit meskipun ketinggalan 5-3 pada set terakhir. Secara jujur, ia bukanlah keputusan yang baik untuk saya tetapi saya harus kekal positif untuk harungi kejohanan seterusnya,” kata Muguruza. – AGENSI