PETALING JAYA – Dendangan lagu Sampai Menutup Mata oleh penyanyi Elyana dalam Instagramnya baru-baru ini meruntuh hati pengikutnya sehingga menimbulkan rasa sebak dalam kalangan peminat.
Elyana menujukan lagu berkenaan untuk anak kesayangannya, Cinta Sumayyah yang kini berusia 10 tahun.
“Lagu untuk cintaku,” kata Elyana sambil menyanyikan lagu dendangan asal penyanyi seberang, Acha Septriasa itu.
“Tiba-tiba post ini keluar. Bila dengar rasa sebak terus hati dengar El (panggilan Elyana) menyanyikan lagu ini,” ujar salah seorang pengikutnya dalam Instagram.
Dalam pada itu, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 33, turut menerima kata-kata doa dan semangat oleh peminatnya supaya penyanyi it uterus kuat melawan penyakit kanser limfoma yang dihidapinya.
“Kak El, moga terus kuat ya. Moga cepat sembut. Allah SWT sayangkan kak El,” kata peminatnya.
Selain peminat, Elyana turut dibanjiri kata-kata semangat oleh rakan-rakan artis antaranya Almy Nadia, Amyza Adnan, Farhan AF dan Haiza.
Sementara itu, dalam ruangan komen, Elyana turut meninggalkan ucapan terima kasih kepada peminatnya yang selama ini banyak mendoakan kesejahteraannya.
“Terima kasih kerana mendoakan saya. Semoga yang baik ini akan berbalik semula kepada awak semua,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! pada 10 Disember lalu melaporkan bahawa penyakit kanser limfoma yang dihidapinya sejak hampir 10 tahun lalu kini hampir memasuki tahap lima.
Bahkan, kanser tersebut turut menyerang dan merebak ke beberapa organ badannya seperti rahim, hati dan pangkal paha. – K! ONLINE