BARCELONA – Bintang Barcelona, Lionel Messi terus mencipta sejarah baharu apabila kini berkongsi rekod dengan legenda pasukan itu, Xavi Hernandez sebagai pemain paling banyak beraksi dalam saingan La Liga bersama The Catalan.
Messi, 34, membuat penampilan ke-505 bersama gergasi Sepanyol itu dalam kemenangan 5-1 ke atas Alaves di Stadium Camp Nou awal pagi semalam yang menyaksikan kapten Argentina tersebut berjaya meledak dua gol pada minit ke-45 dan 75.
Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman amat berpuas hati dengan prestasi semasa ditunjukkan barisan pemainnya yang kini menduduki tangga ketiga dengan 46 mata, ketinggalan lapan mata sahaja lagi di belakang pendahulu La Liga, Atletico Madrid.
Koeman, 58, turut percaya mereka mampu menewaskan juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) untuk aksi pertama peringkat kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini jika anak-anak buahnya dapat mengekalkan momentum ketika ini.
“Tiada masalah untuk mencatat kemenangan (ke atas PSG). Keyakinan ini disebabkan kejayaan kami berjaya menewaskan sebuah pasukan yang sangat hebat bertahan seperti Alaves.
“Malah, Messi juga sudah kembali ke tahap terbaiknya. Tugas kami untuk mencari kemenangan lebih mudah apabila Messi sudah menemui prestasi terbaik dan semua orang mengetahui hakikat ini,” katanya.
Selain Messi, tiga lagi gol Barcelona awal pagi semalam diperoleh menerusi dua jaringan Francisco Trincao pada minit ke-29 dan 74 serta satu daripada Junior Firpo (m-80).
Jaringan sagu hati Alaves dalam perlawanan itu diraih menerusi Luis Roja pada minit ke-57. – AGENSI