KUALA LUMPUR – Dua pengarah sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung pembekalan sarung tangan berjumlah RM7 juta tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh iaitu Razalif Mohamad Zain, 30, dan Mohd. Razimi Ramli, 31, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Datin sabariah Othman.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah menipu Mohamad Nor Sakhawi Mod. Subri,29, yang merupakan Pengarah Syarikat Manosa Holding Sdn. Bhd. dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa boleh membekalkan lebih kurang 670,000 kotak sarung tangan Hartalega Nitrile Examination Glove sedangkan dalam pengetahuan mereka tidak dapat membekalnya.
Perbuatan itu telah mendorong mangsa menyerahkan RM7 juta yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu kepada kedua-dua tertuduh sekiranya tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Connought, Cheras di sini antara Jun 2020 hingga Julai 2020 yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ashraf Appoo.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM50,000 dan menetapkan 15 Mac ini bagi sebutan semula kes. -K!ONLINE