fbpx

Mendiang sempat peluk, cium isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tracyla mengiringi jenazah suami yang baru tiba di Kota Kinabalu untuk dibawa ke rumah keluarga di Kampung Inobong, Penampang-Foto: Ivan Amirul

KOTA KINABALU – “Suami (mendiang) kerap memeluk dan mengucup dahi seolah-olah tahu dia akan pergi (meninggal dunia). Tak sangka itu pelukan terakhir suami.”

Demikian reaksi Tracyla Josephine Thimothy Dapil, 25, yang merupakan balu mendiang Lans Koperal Bradford Bernard.

Bradford Bernard, 28, maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki berusia 58 tahun dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol di Jalan Kluang-Teck Wah Heng, Kluang, Johor pada Jumaat lalu.

Tracyla memberitahu, kali terakhir dia berhubung dengan mendiang suaminya pada pukul 10 malam, Jumaat lalu.

Artikel berkaitan : Lans Koperal maut dilanggar pemandu mabuk

“Suami saya beritahu dia baru selesai tugas dan hendak pulang ke rumah. Jadi saya minta dia berhati-hati semasa menunggang motosikal.

“Saya rasa tidak sedap hati jadi menghubunginya menerusi WhatsApp sekali lagi pada pukul 10.29 malam, tetapi tak pasti suami sempat membaca atau tidak” ujarnya ketika ditemui semasa menyambut ketibaan mayat mendiang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tracyla turut memaklumkan perancangan suami yang mahu dia berpindah ke Johor pada pertengahan tahun ini selepas dia berhenti kerja di sebuah syarikat swasta.

“Kami juga merancang untuk berpindah semula ke Sabah selepas suami genap lima tahun bertugas di Johor.

“Mendiang suami sebelum ini memang ada menyatakan perancangannya mahu balik dan bertugas di Sabah,” katanya kali terakhir bertemu mendiang suaminya pada 2 Februari lalu.

Mayat Bradford Bernard dihantar ke Sabah menggunakan penerbangan pesawat Malaysia Airline MH2614 dan tiba di Kota Kinabalu kira-kira pada pukul 3.30 petang tadi.

Mendiang kemudian dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Inobong, Penampang. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI