LEICESTER – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui bahawa usaha pasukan itu untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi musim lalu sudah berakhir.
Ia berikutan kekalahan kelima dialami mereka daripada lapan perlawanan dan kali ketiga berturut-turut selepas tewas 1-3 kepada Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power kelmarin.
Pada aksi tersebut, Liverpool berjaya berada di hadapan pada minit ke-67 menerusi Mohamad Salah, namun gagal mempertahankan kedudukan apabila Leicester meledak tiga gol dalam tempoh tujuh minit bermula minit ke-78.
Kekalahan itu menyaksikan mereka kini ketinggalan 13 mata di belakang Manchester City selaku pendahulu yang masih memiliki kelebihan satu perlawanan.
“Saya tidak fikir kami mampu merapatkan jurang itu. Kami bukan bodoh untuk terus memikirkan mengenai cara untuk mempertahankan gelaran musim lalu.
“Kami menjaringkan gol pendahuluan yang menarik pada perlawanan ini tetapi bolos dengan gol pertama yang saya fikir tidak patut dibenarkan kerana ofsaid. Kemudian gol kedua mereka adalah kerana salah faham pemain kami.
“Jaringan itu memberikan impak yang besar menyebabkan kami membenarkan mereka menjaringkan gol ketiga dengan mudah,” kata Klopp.
Kali terakhir Liverpool mengalami tiga kekalahan berturutturut pada saingan liga adalah pada November 2014.
Dalam pada itu, penjaga gol Liverpool, Alisson Becker sekali lagi menjadi tumpuan apabila terus membuat kesilapan untuk gol kedua jaringan Jamie Vardy selepas dikritik hebat ketika mereka tewas 1-4 kepada City sebelum ini.
Selepas tiba di Anfield pada musim panas 2018, bekas pemain AS Roma itu sudah melakukan tujuh kesilapan menyebabkan gawangnya bocor dan jumlah itu adalah sekali ganda berbanding yang dilakukan Kepa Arrizabalaga bersama Chelsea dalam tempoh yang sama. – AGENSI