PUTRAJAYA – Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara tetap beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Januari lalu.
Bagaimanapun, operasi itu mengambil kira langkah berjaga-jaga dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebagaimana digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
JPJ menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan berita yang diterbitkan sebuah akhbar bertajuk ‘JPJ diminta terus buka kaunter untuk atasi kehabisan pelekat cukai jalan’ pada 13 Februari lalu.
“Kita ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan kaunter JPJ di seluruh negara beroperasi seperti biasa sepanjang PKP.
“Namun, keutamaan diberikan bagi urusan berkaitan Kenderaan Perdagangan dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV) sahaja bagi memastikan jumlah pelanggan terkawal bagi mengekang penularan pandemik Covid-19,” ujarnya hari ini.
Jelasnya, bagi urusan persendirian pula, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri We Ka Siong sudah memberi pengecualian bagi memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Kompeten (CDL) bermula 1 Februari hingga 31 Mac depan.
Ujarnya, cetakan disk LKM adalah dikecualikan tetapi pemilik kenderaan perlu memastikan kenderaan mereka memiliki pelindungan insurans yang sah sepanjang tempoh pengecualian itu. K! ONLINE