fbpx

Penerima hati pertama kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafizam ketika bertemu Afiq di Hospital Selayang baru-baru ini.

PETALING JAYA – “Saya teringat keadaan pertama kali bertemu dia pada 23 tahun lalu, namun kini dia hanya terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri,” kata penderma hati pertama negara, Wan Mohd. Hafizam Wan Ismail.

Itu antara luahan sayu Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Wan Mohd. Hafizam selepas sejam melawat Mohd. Afiq Iqmal di Hospital Selayang, semalam.

Wan Mohd. Hafizam ketika dihubungi Kosmo! berkata, Afiq Iqmal, 23, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas tidak sedarkan diri akibat komplikasi hati pada tengah hari Sabtu lalu.

“Saya mengetahui mengenai keadaan Afiq yang tidak sedarkan diri di rumah selepas dimaklumkan oleh ahli keluarganya.

“Hari ini (semalam) saya berkesempatan untuk melawatnya, saya amat sedih melihat keadaan kulitnya bertukar kekuningan dan terbaring kaku,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Katanya lagi, beberapa hari sebelum kejadian, dia merasakan sesuatu yang tidak kena akan terjadi namun tidak tahu apa puncanya.

“Beberapa hari lalu, saya berasa amat tidak sedap hati dan tidak dapat tidur dengan tenang seperti sesuatu yang berlaku. Namun, pada Sabtu lalu, saya dikejutkan dengan berita Afiq dikejarkan ke Hospital Selayang kerana tidak sedarkan diri,” jelasnya.

Gambar kenangan Hafizam ketika Afiq masih bayi.

Tambahnya, kali terakhir menghubungi Afiq adalah pada Januari lalu untuk bertanyakan khabar dirinya dan keluarga.

“Dia amat ceria ketika dihubungi dan tiada tanda-tanda sakit walaupun saya dimaklumkan dia sudah beberapa kali keluar masuk hospital akibat penyakitnya itu namun kali ini keadaannya lebih teruk.

“Afiq seorang anak yang baik dan sentiasa disenangi oleh orang-orang disekelilingnya termasuk kakitangan hospital yang merawatnya, saya juga dimaklumkan oleh kakitangan hospital yang merawatnya bahawa Afiq sering mengusik dan sentiasa berjenaka ketika menerima rawatan,” jelasnya.

Wan Mohd. Hafizam juga memohon orang ramai mendoakan kesihatan Afiq yang sedang bertarung nyawa di hospital.

“Saya menyeru dan memohon masyarakat di luar sana agar sama-sama mendoakan kesihatan Afiq agar kembali pulih seperti sedia ada, walaupun saya difahamkan jangka hayat penerima pemindahan hati mampu bertahan lebih 20 tahun namun saya tetap mahu untuk melihatnya kembali pulih,” jelasnya.

Terdahulu, Wan Mohd. Hafizam menggemparkan seluruh tanah air pada 23 tahun lalu selepas mendermakan sebahagian hatinya kepada Afiq Iqmal yang berusia 14 bulan ketika itu walaupun tiada pertalian darah antara mereka.

Sementara itu, Bapa kepada Afiq iqmal, Muhamad Zaini Derahim, 50, ketika dihubungi turut memohon orang ramai mendoakan kesihatan anaknnya.

“Setakat ini, doktor telah sedaya-upaya merawatnya termasuk memberi ubat-ubatan. Kami sekeluarga hanya mampu mendoakan perkembangan positif dalam beberapa hari ini,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI