fbpx

Hoocay.com bakal meningkatkan industri inap desa di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Industri pelancongan adalah antara sektor ekonomi yang paling teruk terjejas akibat pandemik susulan langkah kawalan pergerakan dan penjarakan sosial yang dilaksa­nakan kerajaan bagi memben­dung penyebaran wabak tersebut.

Realiti ini memberi tamparan hebat kepada pelbagai platform tempahan pelancongan, terutamanya syarikat yang bersaiz lebih kecil seperti Hoocay.com.

Ketua Pegawai Eksekutif Hoocay.com, Muhammad Muzaffar Basarudin mengakui bahawa keadaan tersebut telah memaksa operasi syarikatnya dikecilkan daripada 15 orang pekerja pada tahun 2019 kepada hanya lima orang selepas Mac 2020, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama.

“Ketika industri pelancongan domestik kembali dibuka secara perlahan-lahan tahun lalu, kebanyakan pengusaha inap desa belum bersedia menerima kehadiran pengunjung meskipun hotel dan rumah penginapan lain banyak menerima tempahan.

“Ini kerana titik penjualan utama bagi inap desa ialah pe­luang untuk berinteraksi dan mengalami sendiri budaya serta gaya hidup seharian masyarakat di kampung.

“Hal ini tentunya memerlukan aktiviti dilakukan secara berkumpulan dan ada juga program yang perlu dibuat secara bergotong- royong, ini membuatkan prosedur operasi standard (SOP) agak sukar dipatuhi.

“Memang ada pengunjung yang membuat tempahan, namun ditolak oleh pengusaha inap desa itu sendiri dan kami juga tidak membuat sebarang jualan sejak pandemik ini bermula,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Bercerita tentang permulaan perniagaan Hoocay.com, Muzaffar, 33, berkata, ia merupakan produk sulung syarikatnya, Appscraft Sdn. Bhd.

Bermula bulan September 2019, syarikat telah bekerjasama dengan Kementerian Pelanco­ngan, Seni dan Budaya (Motac) dengan menyediakan satu platform yang menyenaraikan semua inap desa di bawah kementerian tersebut.

Kira-kira enam bulan sebelum PKP pertama dilaksanakan, platform tersebut memiliki 400 buah inap desa yang didaftarkan.

Tambah beliau, syarikat menjana hasil pendapatan daripada caj tujuh peratus yang dikenakan kepada tempahan pelanggan.

“Sebelum ini, kebanyakan pe­langgan inap desa, terutamanya dari luar negara dibawa oleh ejen pelancongan dan akan mengenakan bayaran mengikut individu.

“Akan timbul masalah apabila tempahan yang melibatkan jumlah pelancong yang ramai dan mereka tidak menikmati kemudahan seperti yang dijanjikan oleh ejen pelancongan sebelum itu.

“Sebagai contoh, ada bilik yang memiliki kemudahan penghawa dingin dan ada juga yang tinggal dalam bilik yang ada kipas sahaja, sedangkan bayaran yang dikenakan adalah sama.

“Sehubungan itu, melalui Hoocay.com, semua maklumat terperinci mengenai kemudahan di sesebuah inap desa itu disediakan kepada pelanggan,” katanya.

Muzaffar berkata, aktiviti yang ditawarkan di inap desa mungkin sekadar ‘biasa-biasa’ pada pandangan mata masyarakat, namun ia sebenarnya digemari pengunjung terutamanya pelancong asing.

“Misalnya aktiviti paling popular di inap desa di Parit Bugis, Johor, adalah memanjat pokok kelapa dan memetik buahnya serta menikmati minuman air kelapa segar hasil usaha mereka sendiri.

“Di Hoocay.com, inap desa kami menawarkan sekecil-kecil aktiviti seperti ini sehinggalah pengalaman eksklusif.

“Di Sarawak misalnya, kami memiliki produk inap desa yang mengenakan bayaran sehingga RM7,000 semalam,” katanya.

Menurut Muzaffar, dengan pasukan yang lebih kecil, pihak­nya kini memfokuskan kepada kerja-kerja penyelenggaraan laman web, pembangunan kan­dungan dan perancangan penambahbaikan sebagai persediaan memenuhi permintaan pelancong yang dijangka bertambah selepas pandemik berakhir.

Tambahnya, perancangan syarikat adalah untuk melancarkan Hoocay 2.0 yang dijadualkan pada suku kedua 2021 melibatkan pengenalan aplikasi telefon pintar yang tidak hanya memudahkan pengguna, tetapi juga bagi pengusaha inap desa me­nerima tempahan.

“Hoocay 2.0 akan menyokong penggunaan enam hingga tujuh bahasa, selain kerjasama dengan penyedia perkhidmatan untuk mengambil pengunjung di lapa­ngan terbang.

“Kami bertuah kerana terpilih sebagai penerima geran Skim U­sahawan Permulaan Bumiputera (Superb) oleh Unit Pe­neraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang bernilai sehingga RM500,000 dan ini mengesahkan kelangsungan syarikat sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat.

“Kami juga bercadang untuk memperuntukkan sebahagian daripada geran ini untuk memberikan baucar elektronik kepada pelanggan bagi menggalakkan penggunaan platform ini,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI