PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan 75 bot nelayan asing serta 820 kru warga asing yang menceroboh perairan negara dengan nilai rampasan berjumlah RM112.5 juta.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, kejayaan itu dicapai menerusi Op Kuda Laut sejak 24 Jun hingga 31 Disember tahun lepas.
“Sepanjang pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula Mac tahun lalu, kerajaan melarang bot-bot nelayan asing ditahan kerana dibimbangi mewujudkan kluster import baharu dan tindakan ketika itu hanyalah melalui pengusiran keluar daripada perairan negara.
“Arahan itu bagaimanapun tidak efektif kerana aktiviti pencerobohan meningkat, justeru kita memohon kerajaan menguatkuasakan semula arahan tangkapan ke atas bot nelayan asing melalui Op Kuda Laut yang dilancarkan pada 24 Jun tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-16 Maritim Malaysia bertemakan ‘Kami Serius Melaksanakannya’ secara dalam talian di laman Facebook APMM hari ini.
Pada majlis itu, seramai 377 pegawai menerima anugerah perkhidmatan cemerlang selain sembilan pegawai dan lapan anggota dianugerahkan reben penghargaan ketua pengarah.-K! ONLINE