fbpx

K2

Ancaman kanser paru-paru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANSER ketiga yang banyak dihidapi oleh masyarakat di negara ini berlaku apabila terdapat pertumbuhan sel yang tidak terkawal pada bahagian paru-paru.

“LIMA tahun lalu, doktor mengesahkan saya menghidap kanser paru-paru.

“Sebaik dimaklumkan mengenai penyakit yang dihidapi, fikiran saya kosong. Saya mula putus harapan,” kata Koh Siang Kai.

Bercerita lanjut, menurut lelaki berumur 71 tahun itu, dia menyedari perubahan pada dirinya apabila batuk dengan kerap.

“Saya sering batuk. Pada satu pagi, saya terjaga apabila mengalami batuk berdarah.

“Panik dengan keadaan itu , saya terus berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan sinar X di bahagian dada. Keseluruhan proses itu membuat saya rasa sangat tertekan.

“Sebaik keputusan keluar, saya tidak dapat menerima kenyataan dan mula mempersoalkan ketentuan takdir,” katanya.

Hampir berputus asa dan mengakui berasakan dirinya seperti dilambung ombak, namun Siang Kai berjaya mengharungi fasa getir dalam hidupnya dengan sokongan daripada ahli keluarga.

SIANG KAI

“Saya ingat lagi pernah memberitahu doktor yang saya telah berputus asa.

“Bagaimanapun, saya berjaya keluar daripada perasaan tersebut dengan sokongan keluarga selain menyibukkan diri dengan kerja dan aktiviti harian.

“Kaedah itu membantu untuk tidak memikirkan tentang penyakit dihidapi.

“Nasihat saya kepada individu didagnosis dengan kanser, anda tidak berseorangan. Selagi masih bernafas, kita masih ada harapan,” katanya.

Siang Kai berkongsi ceritanya kepada pihak media pada kempen Keep Breathing sempena Hari Kanser Sedunia yang dianjurkan secara virtual oleh Lung Cancer Network Malaysia (LNCM) dengan sokongan Pfizer.

Kempen kesedaran awam ini dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat berkenaan kanser paru-paru, selain memperkasakan individu yang terkesan akibat daripada kanser paru-paru dengan ilmu untuk

mengenali simptom awal serta stigma dan salah faham mengenai penyakit ini.

Umum maklum, kanser merupakan salah satu penyakit kronik yang ditakuti dan boleh memberi impak negatif kepada pesakit, keluarga dan negara.

Kementerian Kesihatan melaporkan jumlah kes kanser pada tahun 2012-2016 meningkat sebanyak 11 peratus berbanding tahun 2007-2011.

KANSER paru-paru bukan sahaja disebabkan oleh budaya merokok, tetapi juga beberapa faktor lain. – GAMBAR HIASAN

Tiga jenis kanser paling kerap berlaku di Malaysia adalah kanser payudara (19 peratus) diikuti dengan kanser kolorektal atau usus besar (13.5 peratus) dan kanser paru-paru (9.8 peratus).

Biarpun merupakan salah satu daripada tiga kanser yang sering dihidapi oleh masyarakat di negara ini, namun hampir 95 peratus daripada pesakit didiagnos dengan kanser paru-paru ketika penyakit sudah berada pada tahap tiga dan empat.

Lebih membimbangkan apabila kesedaran dalam kalangan masyarakat di negara ini mengenai penyakit pembawa maut itu masih lagi rendah.

Stigma masyarakat hari ini sering beranggapan kanser paru-paru hanya boleh dihidapi oleh individu yang merokok juga perlu dibuang jauh. Hakikatnya, penyakit maut ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur.

Naib Presiden LNCM, Dr. Tho Lye Mun berkata, kanser paru-paru berlaku apabila terdapat pertumbuhan sel yang tidak terkawal pada bahagian paru-paru.

“Sel kanser boleh merebak sehingga noda limfa atau organ tubuh yang lain seperti otak, hati dan tulang.

“Di Malaysia, kanser paru-paru merupakan antara kanser paling ramai dihidapi oleh masyarakat. Sebanyak 92 peratus wanita dan 93 peratus lelaki dikesan menghidap kanser paru-paru ketika penyakit sudah berada pada tahap ketiga dan keempat,” terangnya.

DR. LYE MUN

Bukan merokok semata-mata, individu juga berisiko diserang kanser paru-paru menerusi pencemaran udara, mempunyai penyakit kronik berkaitan paru-paru dan faktor genetik.

“Hampir majoriti percaya kanser paru-paru hanya boleh dihidapi oleh golongan merokok walaupun hakikatnya, lebih kurang 10 hingga 15 peratus penghidap adalah dalam kalangan individu yang tidak merokok.

“Faktor-faktor atau risiko lain seperti bekerja di sektor terdedah dengan bahan-bahan kimia, memasak dengan suhu tinggi atau pemakanan juga menyumbang kepada masalah ini.

“Ada yang mempercayai mitos golongan muda tidak menghidap kanser paru-paru. Itu salah kerana penyakit ini tidak kenal peringkat umur dan jantina,” jelasnya.

Terangnya lanjut, setiap individu akan menunjukkan simptom berbeza. Antara simptom awal bagi kanser paru-paru adalah batuk berpanjangan, sesak nafas, batuk berdarah, penurunan berat badan secara mendadak, jangkitan kuman pada paru-paru yang berulang dan mengalami sakit pada bahagian bahu, lengan, dada dan belakang tubuh.

Kanser yang sering dianggap penyakit maut menyebabkan ramai berputus harapan dan sering percaya ia tidak mempunyai penawar.

Proses penyembuhan dalam kalangan pesakit kanser bagaimanapun tidak mustahil jika ia dikesan dari awal.

Terangnya, diagnosis awal penting kerana pada peringkat itu, kadar kesembuhan lebih daripada 70 hingga 80 peratus dengan terapi moden yang diberikan kepada pesakit.

“Dalam beberapa tahun lalu, diagnosis dan rawatan kanser paru-paru berkembang maju. Antara inovasi paling menarik dalam kajian kanser paru-paru adalah pembangunan terapi tersasar yang baharu.

“Ini merupakan ubat yang ditujukan ke arah mutasi spesifik yang berlaku dalam DNA ketumbuhan yang menyebabkan kanser berkembang.

“Kini, kita memecahkan kes kanser paru-paru kepada beberapa sub kategori berbeza dan juga sedang membangunkan ubat lebih efektif,” katanya.

PENCEMARAN udara oleh asap industri turut menyumbang kepada kanser paru-paru dalam kalangan masyarakat. – GAMBAR HIASAN

Landskap rawatan bagi kanser paru-paru yang berkembang pesat dengan rawatan lebih baharu membolehkan prognosis dan kualiti rawatan lebih baik diberikan.

Antara rawatan yang sering diberikan adalah menerusi pembedahan, terapi bersasar, kemoterapi dan immunoterapi yang mana ia dilakukan mengikut tahap kanser pada individu.

“Justeru, bagi memastikan setiap pesakit memperoleh manfaat daripada kemajuan ini, kami akan terus mendidik masyarakat dan mencari penyelesaian terhadap cabaran dihadapi pesakit.

“Menerusi kempen ini, kami berharap setiap orang dapat mengenal pasti tanda-tanda kanser paru-paru. Jika mereka rasa ada yang tidak kena, mereka perlu dapatkan bantuan dengan berjumpa dengan doktor,” tambah Dr. Lye Mun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI