fbpx

Ah long bukan pilihan terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SUHANA MD. YUSOP
PENGARANG BERITA

SEMALAM, Kosmo! Ahad melaporkan kira-kira 20,000 permohonan zakat dijangka diterima Lembaga Zakat Selangor bermula pertengahan bulan ini hingga April.

Ini berikutan masih ramai yang terjejas disebabkan kehilangan sumber pendapatan termasuk ada yang diberhentikan kerja selain ada perniagaan yang gulung tikar.

Kunjungan penulis ke pusat zakat baru-baru ini juga menyaksikan pusat berkenaan ‘dibanjiri’ ramai pelanggan antaranya pemohon baharu bantuan kewangan.

Malah, kakitangan tersebut juga mengiyakan apabila ditanya tentang pertambahan permohonan baharu.

“Ramai kehilangan pekerjaan dan terjejas sumber pendapatan, sebab itu pusat zakat terima lebih banyak pelanggan ketika ini,” jelas kakitangan itu.

Situasi berkenaan turut mengingatkan penulis tentang laporan akhbar ini mengenai beberapa peniaga yang terpaksa meminjam daripada ah long untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.

Ia ibarat gali lubang tutup lubang yang tidak berkesudahan.

Menurut peniaga tersebut, mereka terpaksa meminjam daripada ah long kerana hanya itu jalan yang difikirkan mampu menyelesaikan masalah mereka selain proses pinjamannya yang mudah.

Hari ini pinjam hari ini dapat. Namun, mereka juga sedar sakitnya apabila terpaksa bayar bunga pinjaman. Keadaan ini menunjukkan golongan berkenaan sangat terkesan dengan pandemik Covid-19.

Ibarat kata rakan penulis, bermewah bukan masanya, dapat menyediakan juadah atas meja, bayar bil-bil diperlukan sudah mencukupi.

Justeru, pengumuman kerajaan untuk memansuhkan syarat pengeluaran i-Sinar membuatkan ramai pencarum yang tidak berjaya sebelum ini kembali menaruh harapan.

Tidak kurang yang kata, pengeluaran itu dapat digunakan sebagai modal memulakan perniagaan.

Biarpun hanya pengumuman mahu memansuhkan syarat pengeluaran dan perincian lanjut belum dimuktamadkan, namun ia sudah cukup ‘membahagiakan’ 14. 6 juta pencarum Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja.

Penulis yakin mereka yang mengeluarkan wang persaraan hari tua itu cukup matang dalam memikirkan keperluan hidup tatkala tidak mempunyai wang.

Jangan dihina mereka yang bersorak kerana kita tidak tahu kesengsaraan dihadapi sebaliknya muhasabah diri lihat sama ada kita mampu membantu atau sebaliknya.

Biarpun kini, banyak sektor yang telah dibenarkan beroperasi, namun masih ada yang masih ditutup terutamanya sektor pelancongan bagi mengekang penularan wabak.

Teruskan patuhi prosedur operasi standard kerana kita belum menang. Cukuplah mendabik dada seolah-olah kita ‘kebal’, wabak ini tidak mengenal pangkat dan usia.

Kita doakan moga jangkaan Kementerian Kesihatan bahawa kes positif akan mendatar pada minggu keempat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 adalah tepat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI