MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya pasukan pencabar, Liverpool masih berpeluang untuk memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Pengendali dari Sepanyol itu tetap merendah diri meskipun memiliki kelebihan 13 mata ke atas The Reds selepas menang 3-0 ke atas Tottenham Hotspur di Stadium Etihad awal pagi semalam.
Kata Guardiola, beliau percaya skuad kendalian Jurgen Klopp itu masih mampu untuk mempertahankan kejuaraan berdasarkan corak permainan yang ditampilkan biarpun City mengharungi 15 perlawanan tanpa kalah setakat ini.
“Apa yang saya lihat hari ini (semalam), mereka menampilkan aksi yang cukup baik menentang Leicester (City) biarpun tewas. Mereka mungkin mengharapkan kami kalah tetapi mereka ada kemampuan.
“Liverpool ini sama seperti musim lalu tetapi penyudah mereka kurang tajam. Mereka agak bergelut untuk bermain seperti biasa berdepan Leicester,” kata Guardiola.
Sementara itu, beliau belum pasti tahap kecederaan yang dialami pemain tengah, Ilkay Gundogan selepas meledak dua gol pada perlawanan awal pagi semalam.
“Kami perlu tunggu keputusan ujian esok (hari ini). Dia (Gundogan) beritahu ia hanya kecederaan biasa tetapi kita tunggu dan lihat keputusan nanti,” ujarnya.
Gundogan menjadi nadi penting selepas Kevin De Bruyne mengalami kecederaan selain sudah meledak sembilan gol dalam sembilan penampilan bermula Januari lalu. – AGENSI