PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen akan mengusir 1,200 warga Myanmar yang ditahan di Depot Imigresen di negara ini menggunakan kapal Tentera Laut mulai 23 Februari ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, program penghantaran pulang itu bagaimanapun tidak membabitkan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) atau etnik Rohingya
Beliau berkata, program itu sebaliknya hanyalah sebahagian daripada proses biasa pengusiran warganegara Myanmar di dalam Depot Imigresen.
“Warganegara Myanmar yang terlibat terdiri daripada mereka yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesalahan terbabit termasuklah tiada dokumen pengenalan diri (Seksyen 6(1)(c)), tinggal lebih masa (Seksyen 15(1)(c)) dan salah guna pas lawatan (Seksyen 39(b)),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia akan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar selepas pemerintah tentera Myanmar, yang melakukan rampasan kuasa pada 1 Februari lalu menawarkan tiga kapal tentera laut bagi membawa mereka pulang. -K! ONLINE