fbpx

Topeng antagonis Alvin Chong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALVIN CHONG

NAMA pelakon Alvin Chong meledak gara-gara wataknya sebagai Ean dalam drama rantaian Takdir Yang Tertulis, hasil air tangan pengarah drama fenomena Nur, Shahrulezad Mohameddin. Sejak naskhah berkenaan menemui penonton, nama jejaka Tionghua itu menjadi trending dalam Twitter usai setiapnya selesai memanaskan hati penonton televisyen.

Hakikatnya, Takdir Yang Tertulis bukanlah drama pertama lakonan Alvin. Namun ‘tuah’ watak Ean yang dibawakan kali ini begitu menjadi dan sehingga meniti di bibir penonton.

Tidak keterlaluan rasanya jika ada sesetengah penonton ‘tergila-gilakan’ Alvin menerusi watak peguam kacak yang kini menghiasi kaca televisyen.

Dengan rasa rendah diri, jejaka kelahiran Pulau Pinang itu mengaku sangat berbesar hati dan gembira apabila Ean dapat diterima baik oleh penonton.

“Saya sebenarnya tidak sangka nama Alvin boleh menjadi sohor dalam Twitter.

“Kalau diikutkan, pada awalnya saya bukanlah dikira sebagai watak utama dalam drama tersebut.

“Tetapi bila berada di set penggambaran, abang Ejad (Shahrulezad) tiba-tiba mengubah fikiran agar semua watak menjadi seimbang,” katanya.

SUASANA kerja sebagai anak seni sedikit sebanyak mengajar Alvin untuk mengawal diri dan sikapnya yang mudah panas baran.

Watak Ean

Ujar pelakon berusia 30 tahun itu lagi, antara sebab Ean digemari penonton ialah perwatakan ‘jahat’ yang dilakonkan disembunyikan di sebalik karakter baik.

“Saya tidaklah sehebat mana. Banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari untuk meningkatkan mutu lakonan,” katanya.

Pertama kali bekerja bawah arahan Shahrulezad, Alvin tidak berdepan cabaran besar.

Cuma pelakon yang mengakui masih solo itu berdepan dengan sedikit bermasalah untuk mengucapkan dialog bahasa Melayu dengan lancar dan memerlukan penghayatan yang tinggi.

“Bahasa Melayu saya tidaklah begitu lancar. Lagi pula membawakan watak peguam memerlukan saya menghafal beberapa istilah undang-undang.

“Tetapi apa yang mencabar sebenarnya, pengarah suka gunakan dialog yang panjang untuk sesebuah adegan. Kadang-kadang satu babak sahaja sehingga ada 16 muka surat,” ujar Alvin yang mencipta nama sebagai pelakon selepas membintangi drama Dia Semanis Honey sekitar 2016 itu.

Ketika dia ditawarkan untuk berlakon dalam Takdir Yang Tertulis, awalnya dia menolak tawaran tersebut kerana belum pernah bekerja bawah arahan Shahrulezad.

“Saya tidak tahu bagaimana pendekatan dirinya. Sama ada dia seorang yang garang atau tidak. Saya tidak boleh bekerja dalam keadaan tertekan kerana akan memberi kesan terhadap kualiti kerja.

“Apa yang paling membimbangkan, saya takut nanti saya boleh naik angin dan hasilnya semua benda tidak menjadi,” jelas Alvin.

Biarpun memiliki raut wajah kacak dan ‘baby face’, Alvin mendedahkan bahawa dia sebenarnya seorang yang memiliki sifat panas baran.

ALVIN mengakui satu-satunya cabaran besar yang dihadapi dalam lakonan ialah sebutan bahasa Melayunya yang mungkin tidak sempurna apatah lagi jika diberikan dialog yang panjang berjela-jela.

Panas baran

Kedengaran agak janggal. Mana mungkin seorang lelaki yang luarannya kelihatan persis ‘prince charming’ dan comel, namun dalam diam mengakui dirinya sebenarnya seorang yang mudah naik angin.

“Sebenarnya sejak dari zaman sekolah lagi saya memang sudah ada sifat panas baran. Sampai satu tahap saya boleh baling meja kalau rasa tidak puas hati.

“Tetapi muka memang tak kena langsung dengan perangai saya,” seloroh Alvin.

Namun selepas bergelar selebriti, Alvin berkata, sifat sebegitu harus dikawal bagi mengelak sebarang risiko dan menjaga nama baik sendiri.

“Kerja begini bagus juga. Sekurang-kurangnya saya dapat belajar mengawal emosi. Apabila orang bercakap benda tidak elok tentang saya, jadi saya kena kawal perasaan agar tidak cepat melenting.

“Contohnya, bila saya dikaitkan dengan budak bawah umur pada tahun lalu. Saya memang marah waktu itu sampaikan saya campak telefon bila dapat panggilan daripada wartawan.

“Tetapi apabila difikirkan balik, saya kena tampil juga untuk membersihkan nama baik sendiri,” katanya.

TAHUN ini sekali lagi Alvin Chong menyambut Tahun Baru Cina secara bersendirian memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghalang aktiviti rentas negeri.

Tahun Baru Cina

Memanas seiring sambutan Tahun Baru Cina dengan populariti bak mercun yang meledakkan namanya ketika ini, Alvin bagaimanapun akur apabila perayaan yang sepatutnya terisi bersama keluarga disambut sendiri.

Menyambut perayaan Tahun Baru Cina pada kali ini dalam suasana norma baharu, Alvin bagaimanapun berkata ini bukan kali pertama dia tidak beraya bersama keluarga.

“Tahun ini sekali lagi beraya seorang diri di Kuala Lumpur kerana ahli keluarga yang lain berada di Pulau Pinang.

“Pada tahun lalu pun, saya tidak beraya dengan keluarga kerana bercuti seorang diri di New York, Amerika Syarikat,” jelasnya.

Biarpun tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk beraya bersama keluarga, Alvin telah mengirim beberapa barang keperluan kepada keluarganya.

“Nasib baik juga ada kawan-kawan di Kuala Lumpur.

“Sehari selepas Tahun Baru Cina, saya juga telah kembali semula ke set penggambaran sebuah drama baharu,” katanya menutup bicara.

Foto: MOHAMMAD IQBAL ROSLI Solekan: VEE MUHAMAD (@veemuhamad)
Busana: BEHATI (@behati.my)
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI