SEREMBAN- “Sudah setahun kami tidak bekerja dan tiada pendapatan langsung.”
Itu luahan seorang pengusaha van sekolah, R. Subramaniam, 73, yang terputus pendapatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Menurutnya, penutupan sekolah juga sekali gus telah menutup pendapatan pengusaha-pengusaha van sekolah.
Subramaniam berkata, dia sudah lapan tahun membawa van sekolah dan sebelum ini mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan namun semuanya berubah sejak sekolah ditutup akibat penularan Covid-19.
“Saya sudah setahun tidak bekerja kerana sekolah tidak beroperasi, pendapatan tiada langsung.
“Semalam, ada beberapa rakan saya yang terpaksa menjual van sekolah mereka untuk menampung kehidupan, itu jalan terakhir, mereka juga sudah tidak punya pendapatan,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Bayt Assayyidah Khadeejah Alkubro di Taman Seri Pagi, Senawang dekat sini hari ini.
Bagi Muhamad Hisham Muhamad Hanip, 42, pula, dia sudah 21 tahun bekerja sebagai pengusaha van sekolah dan terpaksa menggunakan duit simpanan untuk menampung kehidupannya sekeluarga.
“Saya bernasib baik kerana masih mempunyai wang simpanan jadi, duit itulah yang saya gunakan untuk menampung kehidupan lima orang anak dan isteri yang juga tidak bekerja.
“Sebelum ini saya juga mempunyai tiga van sekolah namun terpaksa menjual sebuah van lama untuk menampung pendapatan sehingga sekolah dibuka kelak,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Bayt Assayyidah Khadeejah Alkubro, Siti Aishah Johari berkata, pihaknya berhasrat membantu golongan penguasaha van sekolah selepas mereka dilihat sangat terkesan ekoran penularan Covid-19.
“Program sumbangan ini merupakan program kedua yang dilaksanakan, sebelum ini, kami telah memberikan 32 set barangan keperluan untuk pemandu teksi sekitar Senawang dan hari ini kami menyumbangkan lagi kira-kira 50 set barangan keperluan kepada pengusaha van sekolah dan pemandu teksi.
“Kami memperuntukkan sebanyak RM5,000 dana sumbangan daripada ahli kami bagi membantu mereka yang terkesan dalam pandemik Covid-19. Selepas ini, kami akan membantu 60 lagi pemandu van sekolah di luar kawasan Senawang,” katanya.
Menurut Siti Aishah, setiap satu set barangan keperluan tersebut adalah bernilai RM80 hingga RM100 yang berupa barangan termasuk beras, ayam, minuman serta barangan kering. -K! ONLINE