KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan
seorang pegawai sebuah pusat latihan agensi Kerajaan Persekutuan ekoran disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan memberikan beberapa kontrak bernilai RM36,000 kepada ahli keluarganya.
Lelaki berusia lingkungan 40 tahun berkenaan ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira pukul 12.15 tengah hari tadi.
Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy mengesahkan penahanan terbabit dan menurutnya suspek ditahan berikutan memberikan beberapa kontrak pembekalan serta pembaikan peralatan ICT selain pembekalan makanan berjumlah lebih RM36,000 kepada ahli keluarga.
“Suspek akan dikemukakan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pukul 9 pagi esok dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.
Sementara itu, menerusi perkembangan lain S Karunanithy turut mengesahkan pihaknya juga menahan dua lagi individu susulan penahanan empat kakitangan sebuah agensi kerajaan Persekutuan di negeri ini berhubung kesalahan mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu beberapa hari lalu.
“Semua individu berkenaan adalah kakitangan dari agensi yang sama berusia 39 dan 41 tahun dan ditahan pada pukul 12 tengah hari tadi di pejabat SPRM Sabah atas kesalahan sama iaitu Seksyen 18 Akta SPRM 2009.-K! ONLINE