Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
JERANTUT – Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam pembangunan kawasan lembangan sungai berdasarkan hasil kajian di seluruh negara dijangka diguna pakai tahun ini bagi menangani masalah banjir yang sering melanda beberapa negeri.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pada masa ini pihaknya masih menunggu laporan kajian daripada beberapa buah negeri sebelum menetapkan SOP yang perlu dipatuhi dalam pembangunan kawasan lembangan sungai.
“Hampir semua negeri telah menyelesaikannya kecuali tiga buah negeri dan dapatan dan cadangan kajian ini akan dilaksanakan secara menyeluruh.
“Semua pihak perlu peka dengan prosedur pembangunan khususnya membabitkan lembangan sungai sekali gus perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Alam Sekitar,”katanya selepas melakukan lawatan di kawasan runtuhan tebing parit di Taman Wira, dekat sini, hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim, pihaknya telah meminta kerjasama semua negeri bagi menyediakan kaedah dan kajian lembangan sungai dalam usaha mengatasi implikasi banjir yang sering melanda negara.-K! ONLINE.