KOTA BHARU – Kerajaan sedang memantau dan akan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dengan kegiatan sugar daddy termasuk pengguna aplikasi Sugarbook.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata, dakwaan berlaku peningkatan jumlah mahasiswa yang terlibat dengan kegiatan tidak bermoral itu amat mendukacitakan.
“Perkara ini sangat mendukacitakan. Saya sudah sebut bahawa kerajaan akan mengenakan tindakan yang lebih keras terhadap mereka yang terbabit termasuk menggunakan aplikasi itu.
“Aplikasi tersebut perlu dihalang daripada digunakan di negara ini kerana boleh mendorong rakyat untuk melakukan perkara yang tidak betul dan melanggar undang-undang menerusi aplikasi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Sumbangan Musaadah Covid-19 kepada 88 pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Marzuk diminta mengulas mengenai peningkatan jumlah mahasiswa di Lembah Klang yang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral bagi mencari sugar daddy.
Media tempatan melaporkan, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata statistik menunjukkan seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggu (IPT) berdaftar dengan aplikasi Sugarbook untuk mencari sugar daddy.
Katanya, berdasarkan rekod, terdapat peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran pengguna baharu aplikasi itu akibat desakan hidup sewaktu pandemik Covid-19 masih lagi menular di seluruh dunia.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk memberitahu, perkara itu masih disiasat dan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak perkara tersebut terus berlaku. -K! ONLINE