MOSCOW – Seorang lelaki di Rusia yang membunuh dan memakan tiga rakannya sebelum membuang mayat mereka ke dalam sungai dihukum penjara seumur hidup, lapor akhbar Daily Star.
Eduard Seleznev, 51, dari bandar Arkhangelsk, wilayah Arkhangelsk Oblast, membunuh rakan-rakannya itu antara Mac 2016 hingga Mac 2017.
Mahkamah di negara itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Seleznev yang digelar Kanibal Arkhanglesk, namun peguamnya membuat rayuan supaya hukuman anak guamnya diringankan.
Bagaimanapun, mahkamah tinggi di Rusia kemudian mengekalkan hukuman tersebut.
Seleznev mengakui ketika perbicaraan bahawa dia membunuh rakan-rakannya apabila mereka tidak sedarkan diri akibat mabuk. Dia merebus mangsa selepas menikam mereka.
Mangsa yang masing-masing berusia 59, 43 dan 34 tahun dikerat-kerat dan Sleznev mengambil anggota badan yang diinginkan. Sisa mayat mangsa kemudian dibungkus di dalam beg plastik seterusnya dibuang ke sungai.
Mahkamah dimaklumkan bahawa dia turut mempunyai tabiat pemakanan pelik termasuk memakan kucing, anjing, burung dan haiwan kecil lain.
Seleznev turut berpindah ke apartmen salah seorang mangsanya dan memberitahu ibu bapa mangsa bahawa anak mereka pergi bekerja di bandar lain.
Situasi menjadi bertambah mudah buat lelaki itu apabila dua lagi mangsa tinggal sebatang kara. – Agensi