fbpx

Jabatan Perhutanan Kelantan rancang tambah senjata api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEGAWAI dan anggota Jabatan Perhutanan Kelantan menggunakan senjata api ketika mengadakan pemantauan Operasi Lombong di beberapa hutan simpan pada tahun lalu.

KOTA BHARU – Jabatan Perhutanan Kelantan merancang untuk menambah senjata api untuk kegunaan pegawai dan anggota bagi menjalankan tugas penguatkuasaan serta membanteras pencerobohan hutan simpan di negeri ini.

Hutan simpan tersebut merangkumi bahagian Kelantan Selatan di Gua Musang, Kelantan Barat di Tanah Merah dan Kelantan Timur di Machang.

Pengarah Perhutanan negeri, Abdul Khalim Abu Samah berkata, sebanyak 17 lesen senjata api telah dikeluarkan kepada anggota dan pegawai penguatkuasa daripada Kemeterian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia sejak dua tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun jabatan itu setakat ini hanya memiliki tiga pucuk pistol dan lima laras senapang patah.

“Sebagai pengarah, saya menerima satu lesen manakala 16 pegawai lain pula menggunakan kebenaran itu ketika operasi dan penguatkuasaan di kawasan hutan simpan.

“Pihak jabatan merancang membeli senjata tambahan untuk dibekalkan kepada semua pemegang lesen, namun peruntukannya bergantung kepada kelulusan kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini, Jabatan Perhutanan Kelantan tidak berdepan dengan sebarang gangguan atau ancaman sepanjang menjalankan operasi di kawasan hutan simpan.

Dalam perkembangan sama, Abdul. Khalim berkata, pihaknya telah menggunakan dron sejak lima tahun lalu untuk memantau kawasan hutan simpan seluas 629,775.13 hektar di negeri Kelantan.

“Penggunaan dron itu dapat membantu pihak jabatan mengenal pasti sebarang pencerobohan secara haram di kawasan hutan simpan.

“Kita juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kegiatan penceroboh secara haram boleh melaporkan segera kepada pihak berkuasa yang berdekatan,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI