PETALING JAYA – Pelakon terkenal Che Ta menjadi sasaran kecaman hebat netizen apabila didakwa menggunakan akaun Instagram anaknya, Aaisyah Dhia Rania bagi tujuan mempromosikan produk membesarkan aset wanita.
Menerusi video berdurasi kurang satu minit yang dimuat naik, seorang wanita dipaparkan lengkap berpakaian baju tidur sedang memegang sejenis produk dengan menunjukkan hampir sebahagian payudaranya.
“Berita baik untuk akak yang nak lebih mantap. Bagi akak yang payudara kecil, kendur, leper, tidak seimbang dan jatuh akibat bersalin, pakai produk ini secara konsisten,” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Rata-rata netizen yang melihat video tersebut tampil meluahkan rasa kurang senang kerana merasakan kandungan sedemikian berunsur lucah dan tidak sesuai dengan usia anaknya yang baru mencecah tujuh tahun.
“Kenapa Che Ta tidak letak je dekat Instagram sendiri. Ini kan Instagram Aaisyah. Fikir tu biar jauh ke depan. Tahun 2021 ni kita kena kurangkan melucah ya mak dan ayah sekalian.
“Kenapalah Instagram budak kecil buat review (ulasan berbayar) benda-benda macam ni. Untuk duit semua sanggupkan,” tulis netizen.
Setakat kini, Che Ta atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar, 48, masih mengunci mulut dan belum mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap perkara tersebut.
Meninjau ke Instagram Aaisyah, video tersebut sudah dipadamkan beberapa jam selepas dimuat naik.
Aisyah merupakan anak ketiga Che Ta hasil perkahwinannya bersama pelakon Zain Saidin.
Che Ta turut mempunyai dua orang anak iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya. – K! ONLINE