SEMPORNA – Sebanyak 300 kilogram (kg) daging ayam sejuk beku dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna ketika cubaan menyeludup keluar barangan terbabit di kawasan perairan Pulau Bohey Dulang awal pagi tadi.
Menerusi Ops Sejahtera, sepasukan anggota berjaya mematahkan kegiatan haram berkenaan sewaktu menjalankan rondaan sebelum mengesan sebuah bot pam berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan kira-kira pukul 1.30 pagi.
Pengarah APMM Zon Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, jurugan bot yang menyedari kehadiran pihak berkuasa bertindak memecut laju bot pam berkenaan ke kawasan bakau berhampiran sebelum menghilangkan diri.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemukan 20 kotak mengandungi ayam sejuk beku seberat 300 kilogram dianggarkan bernilai RM2,700.
“Semua ayam sejuk beku ini dipercayai tidak mempunyai permit eksport sah yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis),” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Norrimi turut menyatakan menerusi kes berasingan, pihaknya pada hari yang sama juga berjaya merampas 30 karton rokok bernilai RM1,950 yang cuba diseludup masuk melalui Pulau Gaya Dulang kira-kira pukul 1.55 pagi.
Jumlah keseluruhan semua barang rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan bernilai RM12,150 selain tiada sebarang tangkapan dibuat membabitkan dua kes berkenaan.-K! ONLINE