fbpx

Warga emas meninggal dunia atas pokok sena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa turun dari pokok sena.

KOTA BHARU – Seorang warga emas pengsan di atas pokok sena setinggi enam meter sebelum dia meninggal dunia di hadapan sebuah rumah di Tanjong Mas di sini semalam.

Mangsa, Zakaria Adam, 62, disahkan meninggal dunia ketika sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat, Pengkalan Chepa sedang melakukan operasi menyelamat lelaki itu.

Difahamkan, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung ketika memanjat pokok sena berhampiran rumahnya untuk memotong dahan pokok itu.

Ketua Balai Polis dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Fakri Mazlan berkata, bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira- kira pukul 9.48 pagi.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, seorang warga emas didapati sudah pengsan di atas pokok itu. Bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menurun mangsa dengan ketinggian pokok enam meter.

“Bagaimanapun, apabila mangsa telah dibawa turun, pegawai perubatan yang hadir mengesahkan warga emas itu sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Mohd. Fakri, operasi menurun dan menyelamatkan mangsa tamat pada pukul 10.30 pagi dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, rakan kepada mangsa, Pok Mat Che Mud, 71, mendengar Zakaria mengerang kesakitan sebanyak dua kali sebelum meninggal dunia.

Katanya, apabila mendengar suara itu, dia meminta mangsa mengucapkan dua kalimah syahadah, namun melihat kepala Zakaria sudah terkulai ke bawah.

“Saya sudah bekerja dengan arwah sebagai pemotong pokok sejak lapan tahun lalu. Kebiasaannya, saya yang akan memanjat dan memotong pokok, namun hari ini (semalam) arwah yang ingin membuat kerja-kerja itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Tanah Perkuburan Kampung Sireh di sini semalam.

 

Hasliza menunjukkan gambar arwah ayahnya yang meninggal dunia selepas menemui ajal di atas pokok sena.

Anak arwah, Hasliza Zakaria, 37, berkata, ayahnya bekerja menebang pokok sejak berpuluh tahun dan tidak pernah berlaku kejadian yang tidak diingini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan bermula pukul 2 hingga 3 petang di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan saluran darah dalam jantung tersumbat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI