TUMPAT – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai isu atau masalah berkaitan lambakan sayur berlaku sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, langkah kerajaan yang mengumumkan industri makanan dan pertanian sebahagian daripada perkhidmatan yang perlu berjalan telah berjaya menggelakkan masalah itu berlaku seperti PKP pada tahun lalu.
“Pihak kementerian menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sentiasa berusaha membantu para petani dalam menjual hasil yang dikeluarkan oleh mereka.
“Bukan itu sahaja, kita turut berusaha dan bekerja keras bagi memastikan bekalan makanan dalam negara sentiasa cukup untuk menampung keperluan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat meluang masa menziarahi Ong Guan Ann sempena Tahun Baharu Cina di Kampung Kulim di sini.
Dalam perkembangan lain, Che Abdullah memberitahu, sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di bawah program Ziarah Peladang untuk membantu golongan asnaf di negeri ini. -K! ONLINE