PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita menyiarkan ‘tangkap layar’ pesanan WhatsApp didakwa oleh seorang anggota polis yang mahu berkenalan dengannya mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen sejak semalam.
Wanita itu mendakwa dia mendapat pesanan WhatsApp itu selepas ditahan dalam sekatan jalan raya di mana seorang anggota polis bertugas mencatat maklumat peribadinya termasuk nombor telefon.
Sebahagian netizen menyokong tindakan wanita itu mendedahkan perkara tersebut di media sosial kerana ia melibatkan soal integriti polis, namun tidak kurang mengkritik kerana beranggapan perkara itu cuma melibatkan hal peribadi.
Pemilik akaun Facebook Naziffa Ahmad Iman berkata, polis juga manusia biasa dan anggota polis itu mungkin hanya mahu berkenalan kerana terpesona dengan wanita berkenaan.
“Dia terpesona dengan awak mahu kenal sahaja. Kalau awak tidak mahu tidak perlu balas mesej dia,” kata Naziffa Ahmad Iman.
Pemilik akaun Facebook Halilah Alwi pula berkata, anggota polis juga punya hati serta perasaan, maka wanita tersebut tidak sepatutnya menghebohkan perkara itu di media sosial.
“Kasihan pada anggota polis itu. Boleh kena tindakan tatatertib. Perkara kecil cuma hantar pesanan WhatsApp. Jika tidak mahu layan sekat sahaja,” katanya.
Bagi pengguna Facebook Khairul Hanafi Juhari, orang ramai boleh beri apa sahaja alasan menyebelahi anggota polis itu, tetapi perkara tersebut tetap satu kesalahan melibatkan Akta Peribadi.-K! ONLINE