KUALA SELANGOR – Seorang bapa buntu apabila anak lelakinya yang dipercayai mempunyai masalah mental dilaporkan hilang selepas keluar membeli roti canai di Kampung Tambak Jawa, Jeram di sini sejak Isnin lalu.
Berita kehilangan Muhammad Syukur Ma’ayob, 27, tular selepas keluarganya membuat hebahan menerusi media sosial dan meminta orang ramai membantu mencari pemuda tersebut.
Bapanya, Ma’ayob Samuri, 84, berkata, anaknya yang bekerja di sebuah kilang alat ganti kenderaan itu kali terakhir ketika meminta izinnya untuk keluar berjalan kaki membeli roti canai pada pukul 6.30 pagi, Isnin lalu
“Namun, saya berasa pelik apabila dia (Muhammad Syukur) yang memakai baju kerja berwarna biru masih tidak pulang sehingga lewat malam.
“Kami sekeluarga bertanyakan kepada penduduk kampung dan saudara mara namun masih menemui jalan buntu,” katanya ketika ditemui di rumahnya petang tadi.
Ma’ayob memberitahu, tiada sebarang perselisihan faham berlaku antaranya dengan anak bongsu daripada enam beradik itu sebelum ini.
Bagaimanapun, ujarnya, Muhammad Syukur didapati lebih mendiamkan diri selepas kematian seorang abangnya akibat jangkitan kuman pada Oktober 2019.
“Pada bulan lalu, dia pernah hilang selama tiga hari, namun ditemui sedang berjalan kaki di sekitar Jeram,” katanya.
Lebih membimbangkan, lelaki itu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tanjong Karang pada 17 Februari ini.
Bimbang akan keselamatan Muhammad Syukur, pihak keluarga telah tampil membuat laporan di Balai Polis Jeram, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa mengesahkan menerima laporan kehilangan mangsa.
Kes diklasifikasi sebagai orang hilang.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Muhammad Syukur diminta menghubungi abangnya, Jalaludin, 36, di talian 011-63378667/ 019-2526328 atau balai polis berhampiran. – K! ONLINE