fbpx

Jalan raya Iskandar Malaysia guna teknologi CMA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khairuddin (kanan) menyantuni sebuah keluarga kaum Cina sempena Tahun Baru Cina di Taman Wakaf Tembusu di Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Sebahagian jaringan jalan raya di Iskandar Malaysia, Johor akan dibina dengan menggunakan teknologi Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) dan teknologi turapan bitumen sekerap terubahsuai (CMB).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, projek pembinaan jalan raya menggunakan kaedah penurapan campuran getah beku dan bitumen itu telah dibincangkan antara kementeriannya dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) pada Jumaat lalu.

“Jalan raya sepanjang 20 kilometer (km) di kawasan seliaan IRDA akan dibina dengan menggunakan teknologi CMA dan CMB.

“Sebelum ini, teknologi sama telah digunapakai pada 200 km jalan seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara termasuk di Jalan Parlimen (Kuala Lumpur) sepanjang lima km,” katanya ketika ditemui menziarahi beberapa rumah penduduk kaum Cina sempena Tahun Baru Cina di Taman Wakaf Tembusu di sini hari ini.

Mohd. Khairuddin berkata, inisiatif IRDA mengunakan teknologi CMA dan CMB yang turut bakal memberi penjimatan terhadap kos penyelenggaraan jalan raya bagi jangka panjang diharap dapat diteladani pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negara ini.

Beliau berkata, kementeriannya juga bercadang untuk bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan kerajaan-kerajaan negeri untuk membina jalan raya dengan menggunakan teknologi berasaskan getah beku tersebut di jalan negeri dan kampung di seluruh negara.

“Perluasan pembinaan jalan raya menggunakan teknologi CMA dan CMB mampu melonjakkan tahap pengeluaran getah beku tempatan sekali gus menaikkan pendapatan pekebun kecil,” katanya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI