fbpx

Dua lelaki dicekup selepas 90 minit pecah rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KULAI – Polis mengambil masa 90 minit sebelum menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Muhibah, Saleng di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yow berkata, dua lelaki berusia 31 dan 32 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai Team Lejang/Pintu Balai Polis Kulai pada kira-kira pukul 5 petang.

Katanya, kejadian disedari mangsa pada pukul 3.30 petang selepas mendapati keadaan rumahnya berselerak dan tingkap biliknya dipecahkan selain wang tunai RM50 sudah lesap.

“Polis kemudian membuat rondaan dan menahan seorang daripada suspek sedang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan tersebut.

“Suspek pertama itu membawa pihak polis ke sebuah kuil di Saleng dan menahan seorang lelaki disyaki rakan sejenayahnya. Dua lelaki tempatan itu ditahan susulan laporan kes pecah rumah di taman tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beng Yow berkata, dalam tangkapan itu, polis merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5, dua buah beg, satu unit cutter, satu kuku kambing, satu unit plier, satu unit spanar dan wang tunai RM168.

“Pengecaman terhadap barang-barang kes yang dirampas akan dilakukan mangsa untuk kenal pasti dan pengesahan pemilikan.

“Hasil siasatan dibuat, suspek mengaku terlibat dalam kes pecah rumah di taman itu dan siasatan lanjut akan dilakukan terhadap mereka sama ada turut terlibat dalam kes pecah rumah lain di daerah ini,” katanya.

Jelasnya, semakan rekod lampau mendapati suspek masing-masing mempunyai 16 dan tiga rekod bersabit kes jenayah serta dadah.

Tambahnya, ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methaphetamine.

Kedua-dua suspek direman empat hari bermula Sabtu, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1957. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI