FORT WORTH, Texas- Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam kemalangan melibatkan 135 buah kenderaan dipercayai akibat jalan licin berais di lebuh raya Interstate 35W di Fort Worth, dalam negeri Texas, kata polis.
Senario kemalangan itu melibatkan kawasan sepanjang 1.6 kilometer di beberapa lorong menuju arah selatan lebuh raya rentas negeri tersebut dekat Northside Drive.
Perkhidmatan kecemasan membawa 60 mangsa ke beberapa hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan, lapor saluran berita fox4news.
“Senario hari ini (kelmarin) benar-benar tidak pernah dilihat sebelum ini dan kami berdoa kepada Tuhan supaya kami tidak akan melihatnya lagi,” kata ketua polis Fort Worth, Neil Noakes.
Jurucakap bomba Forth Worth, Michael Drivdahl memberitahu sidang akhbar bahawa kemalangan dahsyat itu dipercayai berpunca daripada keadaan berais.
Beliau memberi amaran bahawa angka korban mungkin meningkat. – AFP/AGENSI