fbpx

126,000 individu diterima suntikan dalam sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KULAI – Dianggarkan seramai 126,000 individu bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 sehari menerusi Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 yang bermula hujung bulan ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, seramai tujuh petugas menyuntik vaksin (vaksinator) akan ditempatkan di 600 lokasi vaksinasi yang telah ditetapkan di setiap lokaliti atau kawasan seluruh negara.

“Seorang vaksinator ini boleh memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada 30 individu setiap hari. Kerajaan menyasarkan menyuntik seramai 126,000 penerima vaksin sehari mulai 26 Februari ini.

“Fasa pertama penerima melibatkan golongan barisan hadapan iaitu anggota KKM yang terdedah kepada wabak serta petugas keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selain beberapa kategori lagi yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas membuat operasi bersepadu bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk menjalankan lawatan pemeriksaan ke tempat kerja dan tempat penginapan pekerja di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Adham menafikan berlaku kelewatan dalam pengagihan vaksin Covid-19 kepada rakyat seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Pengagihan vaksin adalah mengikut jadual dan tidak mengalami kelewatan kerana Malaysia sudah pun mendapatkan vaksin berkenaan secara rasmi dari pembekal ditetapkan kerajaan,” katanya.

Disoal mengenai vaksin bagi pekerja warga asing pula, Dr. Adham menjelaskan kerajaan akan mengutamakan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 kepada rakyat tempatan dahulu sebelum meneliti keperluan buat warga asing.

“Kerajaan akan turut memberi vaksin percuma kepada pekerja warga asing terutama yang bertugas di sektor penting terutama kesihatan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI