LONDON – Varian Covid-19 baharu dan lebih mudah berjangkit yang pertama kali ditemui di Kent, tenggara England akan menjadi varian dominan dunia, kata pengarah program pemantauan genetik Britain, Profesor Sharon Peacock
Varian itu telah dikesan di serata Britain dan di lebih 50 negara di dunia.
“Ia akan ‘menguasai’ dunia dan kemungkinan itu kuat,” kata Peacock kepada Perbadanan Penyiaran Britain seperti yang dilaporkan portal berita ITV semalam.
Varian baharu itu memaksa London dan sebilangan kawasan di selatan serta timur England melaksanakan sekatan Tahap 4 sekali gus paling ketat sebelum Krismas tahun lalu sebelum perintah berkurung koronavirus diperluaskan ke seluruh Britain.
Analisis varian Kent yang dikenali sebagai B117 itu membayangkan ia 70 peratus lebih mudah berjangkit berbanding varian sebelum ini di Britain dan lebih berbahaya.
“Sifatnya yang mudah berjangkit akan menyebabkan saintis-saintis berdepan kesukaran untuk tahun-tahun akan datang,” kata Peacock.
Satu kajian mendapati pesakit di Britain kurang cenderung untuk mengalami kehilangan deria rasa dan bau selepas dijangkiti varian tersebut.
Sehingga kini, terdapat empat varian Covid-1 membimbangkan yang dikenal pasti saintis-saintis program itu.
Tiga daripadanya ditemui di Britain manakala varian keempat dikesan di Brazil dan dikenal pasti menjangkiti sebilangan pelawat yang berkunjung ke Jepun. – Agensi