LIVERPOOL – Pemain tengah Everton, Gylfi Sigurdsson menghamburkan pujian kepada rakan sepasukan apabila mara ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Tottenham Hotspur 5-4 di Goodison Park awal pagi semalam.
Pemain antarabangsa Iceland itu menjadi watak penting pada perlawanan tersebut apabila menjaringkan satu gol selain melakukan tiga umpanan gol buat jentera serangan pasukan itu.
Katanya, perlawanan itu cukup mendebarkan, lebih-lebih lagi benteng pertahanan kedua-dua pasukan begitu rapuh sehingga menyaksikan sembilan gol dijaringkan.
“Perlawanan ini sangat terbuka dan dihiasi dengan banyak jaringan gol. Saya akui ia perlawanan yang sangat menarik untuk ditonton, terutamanya kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.
“Kami bermula agak perlahan sehingga membolehkan pasukan lawan menjaringkan gol awal. Kemudian, kami berjaya menyusun pasukan dan menjaringkan tiga gol dalam waktu singkat,” katanya.
Bekas pemain Swansea City itu juga menggesa rakan sepasukan agar membuat penilaian dari segi pertahanan bagi memastikan situasi tersebut tidak berulang.
“Kami melepaskan tiga gol hasil daripada situasi bola mati. Saya percaya kami perlu fokus pada aspek berkenaan dan bekerja keras untuk memperbaikinya menjelang perlawanan akan datang,” ujarnya lagi. – AGENSI