PENGLIBATAN gadis cantik itu dalam dunia lakonan berlaku secara tiba-tiba selepas ditawarkan membintangi satu watak dalam telefilem istimewa, 10 Tips Tipu Bini.
Terdahulu, Amy Nur Tinie Abdul Aziz, 25, lebih selesa berada di hadapan kamera sebagai pengacara Tumit Tinggi siaran TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Peluang yang diberikan untuk terjun dalam bidang lakonan tidak dilepaskan begitu sahaja. Bagi Tinie, itulah masanya untuk dia mencuba perkara baharu dan menyambar tawaran yang datang kepadanya.
“Sebenarnya saya tidak pernah terniat untuk jadi pelakon, sebab minat saya lebih ke arah pengacaraan dan peragaan.
“Sebelum ini saya ada beberapa kali saya menerima tawaran lakonan, tetapi pada masa itu saya tiada keyakinan dengan bakat lakonan,” katanya.
Cuma sekitar tahun lalu, dengan sekadar mencuba, Tinie telah menghadiri sesi uji bakat dan terpilih untuk memegang watak seorang gadis ‘blur’ bernama Eisya dalam naskhah terbitan Datuk Awie.
Kini, Tinie menyifatkan kerjaya sebagai pelakon tidak mudah dan memerlukan komitmen serta minat yang tinggi untuk menghayati sesebuah watak.
“Berlakon rupa-rupa tidak mudah. Selalunya kita tengok orang lain berlakon nampak macam senang.
“Sekarang barulah saya rasa betapa penatnya menjadi seorang pelakon. Saya seronok sebenarnya terjun dalam bidang lakonan dan melakukan perkara baharu,” kata wanita berasal dari Ipoh, Perak itu.
Seronok berlakon
Tidak lagi memandang ke belakang, Tinie yang baru selesai menjalani penggambaran kini menjadi semakin seronok bergelar pelakon.
Biarpun telah berada dalam gelanggang lakonan, Tinie tetap aktif sebagai pengacara dan akan kembali menjalani rakaman program Tumit Tinggi yang bakal memasuki musim kelima.
“Kalau keadaan mengizinkan, saya akan memulakan sesi rakaman Tumit Tinggi sekitar Mac nanti,” jelasnya.
Saat diusik tentang wajahnya yang dikatakan mirip seperti pelakon, Puteri Aisyah, Tinie berkata, usikan sebegitu bukan lagi perkara asing. “Semasa saya buat penggambaran drama baru-baru ini pun, ada kru tiba-tiba tanya Puteri Aishah terlibat ke dalam drama ini?
“Memang dah banyak kali orang cakap perkara sama dan saya tidak kisah pun,” kata Tinie.
Melihat penampilan wanita tinggi lampai itu dalam Instagram miliknya, mungkin tidak keterlaluan jika diberitahu gayanya kelihatan agak ‘mengancam’, sementelah dia juga bergelar seorang model dan bekas ratu cantik.
Mahkota
Mungkin ramai yang tidak tahu, Tinie sebelum ini pernah mengharumkan nama negara apabila memenangi pertandingan ratu cantik peringkat antarabangsa, Miss Eco International yang diadakan di Mesir pada 2019.
Dengan memakai selempang tertera nama Malaysia, wanita dengan ketinggian 173 sentimeter juga diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Best Eco Dress penangan busana bertemakan sirih junjung.
“Jika tiada apa-apa halangan, saya akan terbang lagi ke Mesir pada pertengahan bulan Mac nanti untuk dimahkotakan sebagai pemenang Miss Eco International 2020.
“Sekarang ini pun saya sudah membuat permohonan pelepasan untuk ke sana. Harap semuanya dipermudahkan,” katanya.