fbpx

Sabrina wanita di sebalik kejayaan kek Mamasab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NOOR SABRINA menunjukkan antara jenis kek yang dihasilkan oleh syarikatnya. – FARIZ RUSADIO

SEBUT sahaja Mamasab, bayangan kotak rona merah jambu dengan aroma haruman manisan kek pasti berlegar-legar di kotak fikiran umum.

Biarpun baharu sahaja memasuki pasaran pada tahun 2015, namun kek keluaran bumiputera itu kini semakin dikenali dan mampu berdiri sama tinggi setanding kek-kek popular yang lain selepas mula membuka cawangan pertamanya pada tahun 2017 di Petaling Jaya, Selangor.

Begitupun di sebalik populariti yang ada pada jenama kek ini, pasti ramai yang tidak tahu, Mamasab International Sdn. Bhd. yang merupakan sebuah syarikat yang menjual produk-produk bakeri dan manisan sebenarnya diasaskan oleh bekas radiografer di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Biarpun bidang yang diceburinya berbeza, namun pemilik nama Siti Noor Sabrina Soobri, 36, ini tidak menjadikan situasi tersebut sebagai alasan untuknya terus maju ke hadapan.

Buktinya, bukan sahaja melebarkan perniagaan sehingga dikenali masyarakat di negara ini kerana kek cita rasa premium pada harga berpatutan yang dijual, ibu kepada empat orang cahaya mata ini juga berjaya merangkul beberapa anugerah hasil daripada berniaga kek.

Antara anugerah yang berjaya dirangkulnya ialah NONA Best Growing F&B Business Award pada tahun 2018 dan Best Networking Business Award (tahun 2020).

“Saya tidak pernah menyangka akan terlibat dalam dunia perniagaan kerana secara jujurnya, saya bukanlah seorang yang pandai berniaga.

“Pada awalnya, saya bermula dengan membuat durian crepe untuk dijamu kepada kawan sepejabat.

“Oleh kerana, mereka menyukai durian crepe tersebut, saya mula menerima tempahan. Di situ, bermulalah kehidupan awal saya sebagai seorang pembuat dan penjual kek,” katanya.

IBU kepada empat cahaya mata ini tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang perniagaan.

Ketika baru berjinak-jinak dalam perniagaan manisan, Sabrina masih lagi bekerja sebagai radiografer.

Bagaimanapun, kesibukan harian dan memikirkan anak yang masih kecil, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja serta menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaannya.

“Dahulu semuanya dilakukan sendiri. Bermula daripada membeli bahan mentah hingga produk yang dihasilkan dihantar.

“Aktiviti harian penuh sehingga ada satu masa, saya berasakan seperti tidak mampu untuk meneruskan kerana terlalu penat.

“Tetapi sekarang selepas menubuhkan syarikat dan berjaya, rasa berbaloi dengan pengorbanan yang dicurah selama ini,” katanya.

Memulakan perniagaan kek dan bakeri dari rumah pada tahun 2014, Sabrina banyak mempelajari resipi kek melalui kelas-kelas dihadirinya. Begitupun tanpa disedarinya, dia sebenarnya mula membina kepercayaan umum terhadap manisan yang djual.

Bermula dengan durian crepe, Sabrina kemudian mula menjual brownie dan diikuti dengan pelbagai jenis manisan lain.

Percaturan wanita ini ternyata berhasil apabila dia kemudian mula memasarkan makanan lain seperti kuih raya dan daging kambing perap.

ANTARA anugerah yang diterima Siti Noor Sabrina sepanjang menceburi dunia bisnes.

Bermula dengan beroperasi di dapur kediaman, siapa sangka Mamasab International kini memiliki 13 cawangan seluruh Malaysia dengan hasil jualan sebanyak RM100 juta bagi tahun 2020.

Meskipun perniagaan awalnya berasaskan makanan, namun Sabrina melangkah satu tapak ke hadapan dengan menceburkan diri dalam dunia kosmetik, fesyen dan kelengkapan rumah.

“Ada orang takut nak memulakan perniagaan sebab tidak jelas adakah boleh berjaya.

“Ada juga yang takut dengan cakap-cakap orang sekeliling. Keadaan itu menyebabkan ramai takut untuk menceburkan diri dalam perniagaan.

“Paling penting, kita perlu berguru dengan individu yang betul,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN