fbpx

Pinjam ah long, bayar hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERATAN Kosmo! 8 Februari lalu.

GEORGE TOWN – Seorang mekanik motosikal di Bayan Lepas di sini terpaksa meminjam wang sebanyak RM12,000 daripada dua ah long bagi meneruskan perniagaan yang diusahakan lebih 10 tahun.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Zaini, 47, berkata, perniagaannya yang terjejas teruk sehingga 80 peratus akibat pandemik Covid-19 menyebabkan dia nekad mendapatkan ‘modal’ bagi melangsaikan tunggakan hutang alat ganti motosikal dan minyak hitam.

Menurut bapa tunggal kepada lima cahaya mata itu, kehidupannya berubah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu ekoran kerugian yang terpaksa dihadapi demi mempertahankan sumber rezeki keluarga.

“Saya terpaksa buat keputusan yang agak berisiko de­ngan meminjam wang sebanyak RM10,000 daripada seorang ah long pada Jun tahun lalu sementara pinjaman kedua dibuat ­da­ri­pada ah long lain dua ­minggu lalu dengan jumlah RM2,000.

“Pinjaman ini bagi melangsaikan hutang membeli alat ganti motor berharga RM40,000 termasuk minyak hitam. Hutang lama masih belum selesai, kini terpaksa pula berhutang daripada ah long,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

ZAINI mengakui terpaksa meminjam sebanyak RM12,000 daripada dua ah long bagi melangsaikan hutang dan gaji pekerja.

Bercerita lanjut, Zaini berkata, dia perlu menjelaskan RM100 sehari dalam tempoh sebulan bagi pinjaman berjumlah RM2,000, manakala RM1,400 dalam masa 10 hari untuk pinjaman berjumlah RM10,000.

“Takut memang takut, tetapi saya sudah tiada saluran lain untuk mendapatkan wang. Jika dengan pihak bank, banyak proses atau prosedur yang perlu dilakukan sebelum permohonan berjaya dibuat.

“Saya juga perlu memikirkan gaji bulanan tiga daripada lima pekerja yang masing-ma­sing mendapat RM1,500, sewa premis RM600 sebulan, hutang kereta RM800 dan duit persekolahan anak-anak,” ujarnya yang telah menjual dua kereta kesayangan tahun lalu.

Dakwanya lagi, pendapatannya kini terjejas terus apabila hanya menerima purata lima hingga enam buah motosikal sehari berbanding 20 buah sebelum pandemik melanda negara.

“Ekoran kekurangan pelanggan saya kini terpaksa membeli alat ganti motosikal secara tunai dengan jumlah yang sikit berbanding sebelum PKP, barangan motosikal itu dibeli pada harga RM30,000 sebulan,” ujarnya.

Tambah Zaini, dia kini terpaksa bekerja lebih masa sebagai pembantu peniaga buah pada waktu malam dengan menerima upah RM60 hingga RM70 sehari.

“Saya kini bingung me­ngenangkan nasib yang bakal dihadapi sekiranya wabak ini berterusan dua tahun lagi. Mohon pihak kerajaan terus membantu rakyat dengan me­nyalurkan bantuan kepada peniaga-peniaga kecil seperti kami,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI