PETALING JAYA- Pengambilan vaksin Covid-19 oleh setiap rakyat Malaysia harus diutamakan dan disegerakan dalam usaha mengawal penularan virus maut tersebut.
Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim berkata, hukum penggunaan vaksin Covid-19 juga adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.
“Ketika ini, hanya kaedah pengambilan vaksin dianggap berkesan, maka ia menjurus kepada wajib kerana sekiranya langkah ini tidak diambil, terdapat risiko untuk mendapat penyakit yang tinggi dan memungkinkan kemudaratan.
Di peringkat antarabangsa, negara-negara Islam lain seperti Arab Saudi, Mesir, Jordan, Turki, Bahrain dan lain-lain telah menggunakan vaksin ini sebagai usaha pencegahan penyakit tersebut,” katanya di sini tadi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk Berita Sahih di Masjid Putra, Putrajaya.
Katanya, orang ramai juga diminta untuk memahami isu berkaitan vaksin dengan merujuk sumber- sumber ilmiah yang tepat.
“Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengeluarkan majalah Al-Bayan siri tujuh yang membahaskan tentang pengambilan vaksin Covid-19 dalam aspek hukum dan permasalahannya,” ujarnya. -K! ONLINE.