fbpx

Orang yang berjaya tidak semestinya pintar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUSTAPA LAKAWA, PENGARANG BERITA KOSMO.

DALAM sejarah pengenalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak 1964, belum pernah lagi peperiksaan utama itu ditangguhkan.

Pada 2010, ketika beberapa buah negeri seperti Kedah, Perlis dan Kelantan dilanda banjir besar, peperiksaan SPM tetap diteruskan walaupun terdapat desakan daripada pihak-pihak tertentu agar ia ditangguhkan sehingga keadaan pulih sepenuhnya.

Kementerian Pendidikan (KPM) ketika itu bertegas, peperiksaan SPM tetap perlu diteruskan.

Pada 2015, negara sekali lagi dilanda bencana iaitu jerebu sehingga ada lagi desakan agar SPM ditangguhkan. KPM atas nasihat pelbagai pihak tetap meneruskan peperiksaan utama tersebut.

Tahun 2020, ketika pandemik Covid-19 menggoncang dunia, seluruh sektor sosial termasuk sistem pendidikan negara terjejas. Akibatnya, KPM terpaksa membuat keputusan berat dengan membatalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Bagaimanapun, nasib sedikit memihak kepada SPM apabila peperiksaan itu tidak dibatalkan, sebaliknya ditangguhkan ke tahun berikutnya.

Hasil perbincangan dengan pelbagai pihak dan mengambil kira kepentingan pelajar, maka KPM membuat keputusan meneruskan peperiksaan itu bermula 22 Februari depan. Ia turut melibatkan Sijil Vokasional Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia.

Sejujurnya, SPM bukanlah peperiksaan biasa-biasa. Ia merupakan ujian paling penting bagi mana-mana pelajar dan dianggap sebagai ‘ibu’ kepada segala peperiksaan di negara ini. Ia juga merupakan ujian terakhir bagi pendidikan menengah atas.

SPM merupakan syarat ataupun ‘pintu utama’ bagi pelajar di Malaysia untuk memilih hala tuju mereka di peringkat yang lebih tinggi.

Ini termasuklah ke peringkat prauniversiti ataupun mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi mahupun kursus asas universiti. Pelajar yang memiliki sijil SPM juga boleh mengambil kursus luar negara seperti A-Level.

Bagaimanapun timbul persoalan, cukup bersediakah calon-calon SPM untuk menempuh peperiksaan pada musim pandemik ini? Jawapannya tidak dan ia adalah antara perkara yang diperdebatkan dan menjadi kebimbangan bukan hanya kepada ibu bapa, tetapi juga dalam kalangan guru yang terlibat.

Dengan kekangan waktu persekolahan, ditambah pula kesukaran dan keterbatasan untuk menghabiskan silibus mata pelajaran, maka cabaran getir terpaksa ditempuh 401,105 calon SPM untuk berdepan ujian terakhir mereka di peringkat menengah atas.

Namun, pada akhirnya, calon-calon SPM perlu yakin bahawa peperiksaan bukan segala-galanya. Semua pihak terkesan dan hadapilah peperiksaan ini dengan hati yang terbuka.

Percayalah, orang yang berjaya tidak selalunya orang yang pintar, tetapi mereka adalah orang-orang yang gigih dan pantang menyerah kalah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI