LONDON – Tonggak tengah Arsenal, Thomas Partey menaruh kepercayaan tinggi terhadap kemampuan hebat bintang pinjaman dari Real Madrid, Martin Odegaard untuk membantu nasib pasukan itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Partey, 28, berharap perancang Norway itu tidak mengambil masa lama untuk membuktikan kualiti permainannya seperti dilakukan ketika beraksi secara pinjaman dengan Real Sociedad musim lalu.
Bintang Nigeria itu percaya Arsenal mampu menjadi platform terbaik buat Odegaard, 23, selepas dia jarang mendapat minit permainan sejak kembali ke Real di bawah kendalian Zinedine Zidane awal musim ini.
“Saya masih ingat menentang Odegaard ketika mewakili Atletico Madrid musim lalu. Saya berdepan kesukaran untuk mengawalnya kerana dia seorang pemain yang bijak dan pantas apabila memegang bola.
“Dia tidak akan membenarkan anda merampas bola daripada kakinya. Jadi, saya sangat teruja apabila kini menjadi rakan sepasukannya di Arsenal.
“Saya amat berharap dia akan menikmati keseronokan bermain di sini sekali gus membantu kami mencapai sasaran,” kata Partey.
Sebagai rekod, Odegaard telah diturunkan membuat debut dalam saingan EPL bersama Arsenal ketika tewas 0-1 kepada Aston Villa pada Isnin lalu.
Biarpun sekadar dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, namun Odegaard berjaya membuktikan kualiti permainannya yang dilihat mampu menyelesaikan masalah peranan No. 10 di Arsenal. – AGENSI