MELBOURNE – Bintang tenis Amerika Syarikat, Sofia Kenin gagal mempertahankan gelaran Grand Slam Terbuka Australia yang diraihnya pada musim lalu selepas terkandas di pusingan kedua semalam.
Pemain ranking No.4 dunia itu tumbang di tangan pemain Estonia, Kaia Kanepi dengan keputusan straight-set 6-3, 6-2 dalam tempoh 64 minit di Margaret Court Arena.
Kanepi kini telah merekodkan kemenangan ke-21 sepanjang 23 perlawanan semenjak Oktober lalu sekali gus dilihat bakal menjadi pencabar hebat pada Grand Slam tahun ini.
Pada perlawanan itu, Kenin, 22 tahun dilihat sedikit gugup selepas lawannya itu mula tampil dengan permainan cukup agresif dan tidak membuka ruang kepadanya untuk bangkit pada set kedua.
Hasil keputusan itu, Kanepi akan berdepan pemain pilihan ke-28, Donna Vekic dari Croatia di pusingan ketiga.
“Saya melakukan pukulan servis yang cukup baik pada hari ini. Saya rasa ia sedikit sebanyak membantu saya meraih kemenangan ke atas Kenin. Saya tahu Kenin bermain dengan cukup baik dan saya tidak mahu melakukan sebarang kesilapan.
“Saya bermain dengan agresif dan bukan seperti perlawanan sebelum ini. Saya selesa dengan taktikal seperti ini dan dapat mengawal permainan sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Kanepi mahu melakukan persiapan yang lebih rapi kerana dia hanya mempunyai baki dua hari untuk berehat.
“Saya pernah lihat Vekic bermain dan pasti saya tidak boleh memandang rendah keupayaannya. Saingan pasti mencabar dan saya perlu mengurangkan kesilapan,” ujarnya. – AGENSI