LONDON – Pengurus pasukan Manchester City, Pep Guardiola mengakui gembira dengan prestasi skuad kendaliannya itu selepas melakar sejarah dengan melebarkan rekod kemenangan buat kali ke-15 tanpa tewas sejurus mengatasi Swansea pada saingan Piala FA awal pagi semalam.
Hasil kemenangan itu, pendahulu saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kini melangkah ke suku akhir Piala FA selepas menumbangkan Swansea 3-1 menerusi jaringan Kyle Walker, Raheem Sterling dan Gabriel Jesus.
Lebih manis, kemenangan itu juga adalah yang ke-200 buat Guardiola dalam 268 perlawanan dan dilihat dalam landasan tepat untuk menjuarai empat trofi musim ini.
“Pesanan ini adalah untuk kami sendiri kerana pasukan ini datang untuk memenangi perlawanan. Itu adalah perkara yang paling penting tetapi kami tidak dapat menafikan bahawa kami bangga kerana kelab kami memecahkan rekod.
“Saya akui untuk berada pada tahap ini bukan mudah terutama untuk meraih kemenangan ke-15 berturut-turut,” katanya.
Dalam pada itu, Guardiola turut memuji persembahan Swansea yang memberi tentangan hebat ketika cuba mencari gol penyamaan menerusi dua percubaan tepat.
“Swansea bermain dengan baik dan mereka turut melakukan serangan berbahaya. Mereka mempunyai dua peluang keemasan dan hampir membuatkan kita tewas.
“Mereka bertahan dengan cukup agresif tetapi kami mengawal permainan dengan baik. Kami melangkah ke suku akhir dan ia adalah satu lagi langkah positif,” ujarnya. – AGENSI