fbpx

Fantasi novel, drama picisan racuni remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHD. RASDAN AHMAD
WARTAWAN EKSEKUTIF

LAMBAKAN karya-karya popular seperti novel picisan remaja sejak kebelakangan ini menjadi fenomena yang mencetuskan krisis intelektual yang sangat menakutkan terutama kepada remaja Melayu.

Fenomena ini dibantu media elektronik yang cenderung memin­dahkan novel itu kepada drama.

Sebuah karya sastera seha­rusnya menjadi popular, tetapi dalam konteks tempatan novel popular adalah karya picisan yang menyuntik satu fantasi sosial menjurus kepada materia­lisme yang mana khalayak dibentuk mengagumi hal-hal kebendaan berbanding nilai kemanusiaan atau perjuangan.

Kecenderungan remaja Me­layu khususnya pelajar menjadikan novel picisan ini sebagai bahan bacaan dilihat memusnahkan gagasan untuk menjadi negara maju yang mana tahap memilih kualiti bahan bacaan sewajarnya berada pada tahap yang tinggi.

Ini bertentangan dengan cita rasa memilih bahan bacaan remaja jika statistik penjualan novel picisan ini boleh dijadikan ukuran.

Remaja Melayu kini menjadi sangat aneh. Sepatutnya sebagai remaja, mereka tidak terasuk dengan fantasi sosial yang menjadi perkara utama dalam novel picisan.

Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya, elemen kebendaan atau materialisme seperti lelaki kacak, gadis cantik, keluarga ternama dan kehidupan mewah yang menjadi e­lemen wajib dalam novel picisan mencatatkan jualan tinggi di negara ini.

Lihatlah elemen-elemen yang ditekankan dalam drama-drama yang diangkat daripada novel picisan yang ditayangkan di saluran televisyen tempatan.

Kehidupan bebas yang me­langgar batas agama dan budaya tidak pernah diendahkan. Oleh yang demikian, tidak hairanlah kalau drama yang diangkat daripada novel picisan secara terang-terangan melanggar patuh syariah yang sewajarnya menjadi garis panduan kepada karyawan Islam, tidak kira penulis novel, pengarah drama dan penerbit.

Bagaimanapun, ada penulis novel picisan ini yang tidak setuju dan menafikan keadaan ini.

Bagi mereka, perkembangan seumpama ini adalah satu yang positif kerana menyumbang kepada peningkatan tahap membaca dalam kalangan remaja.

Memang benar minat membaca semakin meningkat tetapi apalah gunanya sekiranya bahan yang dibaca membantutkan perkembangan pemikiran.

Menurut Othman Puteh dalam tulisannya bertajuk Tanggapan Terhadap Kesusasteraan Remaja (1998), sastera remaja seharus­nya memberikan pendidikan dan hiburan kepada masyarakat.

“Rata-rata penulisan yang terhasil daripada karya popular ini lebih kepada pembentukan pemikiran yang mengagungkan materialisme dengan nilai kemanusiaan yang sangat tipis. Ditambah lagi kisah skandal dan kecurangan.

“Sesebuah karya yang dihasilkan perlu mempunyai isi, mesej serta fungsinya yang membina masyarakat,” jelasnya.

Di Barat, walaupun berstatus negara maju, kesusasteraan tetap diberi keutamaan. Bagi mereka, kesusasteraan itu dianggap sebagai pembina peradaban, penampung ajaran-ajaran yang mendidik diri dan masyarakat sehingga dapat mengangkat taraf khalayak pembaca.

Ini terbukti bahawa pembinaan negara bukan sahaja terletak pada kemajuan material, tetapi ia perlu seiring dengan kematangan pemikiran rakyat dan pembangunan jati diri bangsa yang mana salah satu caranya adalah melalui penulisan karya sastera berpemikiran tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI